Lagi banyak ucapan keji, lagi kuat Najib, Rosmah - Nazri
Tiada apa yang baru apabila rakyat bercakap sesuatu yang buruk mengenai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor atau mengeji mereka, kata Datuk Seri Nazri Aziz.
Malah, menurut menteri Umno itu, lebih banyak ucapan keji terhadap pasangan itu, lebih banyak perkara baik yang mereka perolehi.
Sehubungan itu, Nazri 'mengalu-alukan' kepada semua pihak yang memberi ucapan sedemikian.
"Apa yang baru (tentang orang beri ucapan keji)? Tiada apa yang baru.
"Dalam tempoh empat hingga lima tahun yang lalu, mereka memberi ucapan keji tetapi tiada apa yang berlaku, (malah Najib) semakin kuat.
"Jadi saya fikir, lebih banyak ucapan keji, lebih banyak perkara bagus yang Najib dan Rosmah akan dapat," kata Nazri ketika dihubungi Malaysiakini .
Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai pelbagai nota ucapan yang diletakkan di galeri pusat membeli-belah Atria yang mana antara nota itu mengharapkan supaya Najib dan Rosmah akan jatuh ke dalam longkang.
Nota itu ditulis di bahagian "Wishing Cards" di pusat membeli-belah berkenaan sebagai sebahagian acara sambutan Tahun Baru Cina.
"Najib jatuh longkang tak cukup. Kena Najib dan Rosmah jatuh longkang," tulis nota itu.
Gambar nota tersebut kini menjadi viral dalam media sosial.

