Seorang wanita warga emas yang mempunyai masalah obesiti hari ini terpaksa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh menggunakan khidmat Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Zubidah Udin, 60, yang mempunyai berat kira-kira 250 kilogram dibawa ke hospital berkenaan dari rumahnya di Simpang Pulai dengan menggunakan lori selepas mengalami sesak nafas.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai Ali Hairi Sulaiman berkata pihaknya menerima panggilan daripada pegawai perubatan hospital kira-kira 12.50 tengah hari untuk memindahkan Zubidah.

"Pesakit terlantar sakit di atas katil serta tidak dapat bergerak dihantar ke hospital dengan menggunakan sebuah kenderaan utiliti (lori) yang mempunyai kelengkapan untuk membawa pesakit obesiti itu," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata enam anggota terlibat dalam khidmat di luar tugasan itu dengan dibantu enam petugas hospital.

"Pesakit telah diberi rawatan awal oleh pegawai perubatan sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut," katanya.

- Bernama