Tindakan Jabatan Pelajaran Sabah tidak memperbaharui kontrak 860 guru sementara di negeri itu boleh menjejaskan pembelajaran pelajar, terutama di luar bandar, kata Ahli Parlimen Kudat, Datuk Abdul Rahim Ismail.

"Sabah masih memerlukan khidmat guru sementara kerana banyak sekolah yang masih menghadapi masalah kekurangan guru terlatih dan berpengalaman, terutama di luar bandar.

"Adalah tidak mungkin Jabatan Pelajaran dapat membekalkan guru pelatih ke semua sekolah rendah di Sabah. Saya percaya selepas ini, Sabah akan kekurangan guru semula," katanya.

Beliau menegaskan demikian sebagai mengulas tindakan Jabatan Pelajaran Sabah yang tidak memperbaharui kontrak guru sementara di negeri itu mulai bulan bulan ini.

Menurut Abdul Rahim, banyak sekolah di kawasan Parlimennya di Kudat yang tidak mempunyai guru yang mencukupi dan kalau adapun, terdapat guru yang mengajar mata pelajaran yang bukan pengkhususan mereka.

Mereka mempunyai pengalaman kerana ada yang sudah berkhidmat selama 15 tahun. Maka amat rugi jika tenaga mereka diketepikan begitu sahaja," katanya ketika dihubungi.

Masih diperlukan

Abdul Rahim berkata, guru sementara ini boleh diserapkan ke maktab perguruan untuk membolehkan mereka mendapat kelayakan yang diiktiraf oleh Kementerian Pelajaran.

Kementerian Pelajaran juga katanya, boleh mengurangkan pengambilan kemasukan guru pelatih ke institusi perguruan tempatan untuk memberi ruang kepada guru sementara yang sudah berpengalaman ini.

"Sekolah bandar memang cukup guru, tetapi masalah kekurangan guru di sekolah luar bandar sudah diketahui umum, bukan sahaja di Sabah tetapi juga di negeri-negeri lain," katanya.

Beliau berkata, kekurangan itu berlaku kerana pembahagian guru oleh Jabatan Pelajaran Sabah tidak dibuat dengan betul kerana mengutamakan sekolah di bandar menyebabkan kekurangan guru di luar bandar.

Katanya, ramai guru terlatih enggan mengajar di luar bandar, dan untuk mengisi kekosongan tersebut, khidmat guru sementara diperlukan supaya sesi persekolahan tidak terjejas.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Pelajaran Sabah, Normah Gagoh pula berkata, Kementerian Pelajaran mengarahkan pihaknya supaya tidak memperbaharui khidmat guru sementara di Sabah.

Memorandum

"Kami mempunyai ramai guru terlatih sekarang...mereka boleh pergi mengajar di mana-mana sahaja di Sabah," katanya.

Menurutnya, meskipun guru sementara itu mempunyai kelulusan ijazah, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia dan Sijil Pelajaran Malaysia, tetapi kini jabatan pendidikan mempunyai guru terlatih yang mencukupi.

"Mereka (guru sementara) diambil untuk mengisi kekosongan sementara. Ramai antara mereka ditempatkan di sekolah luar bandar," katanya lagi.

Tindakan Jabatan Pelajaran Sabah tersebut menyebabkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Maximus Ongkili menghantar memorandum kepada pemangku Menteri Pelajaran Datuk Dr Mohd Shafie Salleh di Putrajaya Sabtu lalu.

Beliau memohon supaya pihak kementerian itu menimbang semula keputusannya itu dengan menerima semula perkhidmatan guru-guru sementara di Sabah.

Menteri Pelajaran Datuk Hishamuddin Hussein, yang juga Ketua Pemuda Umno, kini berada di Acheh bersama ahli pergerakan itu membantu mangsa tsunami di wilayah tersebut.