Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
DAP gantung keahlian MP Kota Melaka dan pengerusi Melaka
Diterbitkan:  Feb 6, 2016 7:38 PM
Dikemaskini: 1:14 PM

DAP hari ini menggantung keahlian selama setahun terhadap Ahli Parlimen Kota Melaka, Sim Tong Him, dan pengerusi DAP Melaka yang juga ADUN Duyong, Goh Leong San.

Setiausaha jawatankuasa tatatertib DAP, Tai Xing Piao berkata dalam satu kenyataan bahawa kedua-duanya digantung keahlian mereka kerana berulangkali membuat kenyataan yang merosakkan reputasi parti.

Beliau berkata penggantungan keahlian mereka berkuat kuasa hari ini dan keahlian mereka dalam DAP hanya akan dipulihkan selepas tempoh tersebut.

"Sim dan Wong, sebagai pemimpin kanan parti, sepatutnya menunjukkan teladan yang baik, terutamanya pada masa rakyat perlu DAP untuk menyediakan kepimpinan.

"Tetapi bukan sahaja gagal berbuat demikian, mereka juga telah membuat tuduhan palsu terhadap kepimpinan parti di media dan di majlis-majlis awam," kata Tai.

Beliau berkata kedua-dua mereka boleh merayu terhadap penggantungan mereka kepada jawatankuasa eksekutif pusat dalam tempoh 14 hari.

Tindakan Sim dan Wong berpunca dari pertikaian undang-undang dengan ahli parti Wong Fort Ping.

Tai berkata, selepas kedua-duanya kalah dalam pertikaian undang-undang terhadap Wong pada 15 September tahun lepas, mereka menyalahkan kepimpinan DAP dan mendakwa parti itu membalas dendam terhadap mereka.

Beliau berkata ekoran kejadian ini, Sim dan Goh membentuk kumpulan yang digelar 'Justice League' dan pada 1 November tahun tersebut, mengadakan majlis makan malam untuk mengumpul dana untuk bayaran guaman mereka, di mana seorang bekas ahli parti telah dijemput untuk berucap dan mengecam parti itu.

"Dalam pendengaran tatatertib pada 18 Disember tahun lalu, mereka diminta untuk menjelaskan tindakan mereka tetapi kedua-duanya gagal memberi jawapan yang memuaskan," katanya.

Tai berkata, walaupun DAP mengakui bahawa Sim dan Goh telah banyak menyumbang kepada parti, tetapi jawatankuasa disiplin merasakan adalah perlu tindakan drastik diambil terhadap mereka.

DAP Melaka terbabit dengan kemelut dalaman sejak sebelum pilihan raya umum lepas apabila pemimpin negeri yang tidak sehaluan dengan Setiausaha Agung Lim Guan Eng bertelagah dengan penyokongnya.

Kepimpinan DAP negeri Melaka telah, dalam pilihan raya umum 2013, menyekat Wong, yang dilihat sebagai memihak kepada Lim, daripada dicalonkan bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri Kota Laksamana.

Berikutan itu, seorang calon kompromi, Lai Kuen Ban, yang juga dilihat sebagai memihak kepada Lim, telah dipilih.

Dalam responnya, Sim, yang mempertahankan kerusi Parlimen Kota Melaka di bawah tiket DAP, turut bertanding sebagai calon Bebas menentang Lai di DUN Kota Laksamana, dan mencetuskan krisis dalam parti.

Sim kemudiannya menarik diri daripada bertanding di DUN Kota Laksamana selepas dipujuk oleh pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang dan tidak dikenakan tindakan disiplin.

Tidak lama selepas pilihan raya umum, Goh juga meletak jawatan sebagai ketua pembangkang Melaka kerana membantah kepimpinan pusat yang didakwa campur tangan di negeri ini. Jawatan itu masih kosong hingga sekarang.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS