Penerbangan Malaysia (MAS) menawarkan ganjaran wangtunai RM100,000 kepada kakitangannya yang dapat memberi maklumat sehingga tertangkapnya pihak yang bertanggungjawab terhadap beberapa kejadian yang tidak diingini terhadap pesawatnya.

Menurut laporan media tempatan, pesawat Airbus A330 MAS ke Osaka, yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Bangkok pada 5 Januari lalu, terkandas apabila pemeriksaan yang dijalankan oleh pihak jurutera sebelum pelepasannya, mendapati cecair hidrolik tumpah di panel kawalan juruterbang.

Sebelum ini, berlaku kejadian di mana terdapat wayar dalam pesawat MAS dipotong, demikian menurut pekeliling yang diedarkan kepada kakitangan syarikat penerbangan tersebut.

"Jelas bahawa motif mereka yang bertanggungjawab melakukannya ialah untuk menjejaskan prinsip-prinsip keselamatan yang kami dukung bersunguh-sungguh selama ini," kata Pengarah Urusan MAS, Datuk Ahmad Fuaad Dahlan sepertimana yang dilaporkan dalam New Straits Times.

'Tindakan pengecut'

Manakala akhbar The Star pula memetik Dahlan sebagai menyifatkan perbuatan itu sebagai "satu tindakan pengecut".

"Dia atau mereka merupakan ancaman serius kepada keselamatan perniagaan syarikat ini dan merupakan musuh dalaman yang merbahaya dan menjadi pengkhianat kepada negara.

"Dia atau mereka tidak memperdulikan keselamatan pesawat kami dan nyawa orang lain dan mesti ditangkap dan dihadapkan ke muka pengadilan," katanya.

Airbus A330 tersebut merupakan pesawat keempat milik syarikat penerbangan itu yang terpaksa dihentikan sementara perkhidmatannya kerana disyaki menjadi sasaran perbuatan khianat sejak dua tahun lalu.

- AFP