Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kurangkan karpet merah untuk saya, kata PM
Diterbitkan:  Feb 10, 2016 7:30 PM
Dikemaskini: 11:42 AM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini membuat teguran terhadap persiapan menyambut beliau dalam lawatan kerja serta majlis rasmi yang dihadirinya.

Menurut Najib, terdapat beberapa perkara boleh dilakukan bagi mengurangkan perbelanjaan, termasuk mengurangkan penggunaan karpet merah dan hidangan istimewa.

Malah beliau sendiri telah mengingatkan kabinet dan kementerian-kementerian supaya membelanjakan peruntukan yang diberi secara berhemah ketika mesyuarat jemaah menteri 6 Januari lalu.

"Ingin saya tambah bahawa ini merangkumi perbelanjaan yang digunakan ketika sambutan lawatan kerja serta majlis rasmi bersama saya atau menteri-menteri lain.

"Berdasarkan pemerhatian saya melalui lawatan-lawatan kerja yang saya lakukan baru-baru ini, saya dapat lihat masih ada perbelanjaan yang boleh kita kurang atau elakkan," katanya dalam satu catatan di blog beliau hari ini.

Berterima kasih untuk segala persiapan menyambut beliau, Najib bagaimanapun berharap perbelanjaan bagi tujuan itu dikurangkan dan tumpuan lebih diberikan kepada rakyat.

"Saya faham sekiranya ada protokol yang perlu diikuti, tetapi di mana boleh, kita kurangkan persiapan seperti karpet merah, hidangan istimewa dan sebagainya.

"Fokus utama kita adalah rakyat, bukan protokol," katanya.

Lihat Komen
ADS