Mulai semalam, syarikat konsesi Projek Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) menguatkuasakan had masa ke atas kenderaan yang menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan.

Berikutan itu, kenderaan yang gagal keluar dari kawasan lebuhraya dalam tempoh masa yang ditetapkan, akan didenda.

Sebagai akibatnya, ramai pemandu telah didenda semasa melalui tol untuk membuat bayaran tol.

Menurut laporan Sin Chew Daily , seorang jurucakap Plus memberitahu, langkah tersebut dikuatkuasakan supaya kenderaan tidak berada terlalu lama di lebuhraya tersebut.

Had masa akan dikenakan apabila kenderaan memasuki lebuhraya dari salah satu plaza tol sehinggalah ia keluar melalui plaza tol yang lain.

Kadar dendanya ialah RM10.50 untuk kereta biasa serta lori saiz kecil, manakala lori melebihi enam tayar akan dikenakan denda yang lebih tinggi.

Jurucakap itu berkata, komputer di setiap plaza tol akan dapat membuat kiraan mengenai masa yang digunakan oleh setiap kenderaan yang melalui lebuhraya tersebut.

Mengenai kenderaan yang mengalami kerosakan semasa mengguna lebuhraya tersebut, jurucakap itu berkata mereka boleh melaporkannya kepada plaza tol atau kereta rondaan lebuhraya mencatatkan nombor plat kenderaan.

Dengan itu, katanya, pemilik kenderaan terbabit akan dikecualikan daripada membayar denda kerana lewat keluar dari lebuhraya tersebut.

Halang penjualan bayi dari Aceh

Kabinet memberi arahan supaya kawalan di pintu masuk negara (udara, air dan darat) diperketatkan lagi bagi mencegah kegiatan menjual bayi.

Bagaimanapun, menurut laporan Oriental Daily News , tiada tangkapan kes seumpama itu yang dibuat sehingga ini.

Menurut Menteri Hal-Ehwal Dalam Negeri, Datuk Azmi Khalid, arahan itu dibuat berikutan kegiatan menjual anak yatim mangsa tsunami dari Aceh, Indonesia.

"Pegawai imigresen perlu mengawasi semua pasangan yang membawa anak, kerana kanak-kanak tersebut mungkin bukan anak mereka," katanya.

Bagaimanapun, ketika bercakap dalam sidang akhbar paska-kabinet semalam, Azmi berkata, pegawai imigresen atau pihak kastam, belum membuat sebarang tangkapan setakat ini yang membabitkan kes penjualan bayi di lapangan terbang atau di laluan laut.

Ditanya mengenai kemungkinan pegawai imigresen berkomplot dengan kumpulan penjual bayi, beliau mengatakan, pihak kementeriannya akan mengambil tindakan disiplin dan undang-undang terhadap pegawai yang disahkan terbabit.

Pada 14 Januari lalu, pihak polis menahan dua orang nenek yang berumur lebih 60 tahun di Setapak Kuala Lumpur kerana disyaki menjual seorang bayi perempuan dengan harga lebih RM18,000.

Keracunan semburan ubat nyamuk

Sementara itu, Nanyang Siang Pau pula melaporkan Menteri Kesihatan Datuk Chua Soi Lek berkata, kerajaan tidak menggalakkan penduduk atau rukun tetangga menyembur ubat nyamuk di kawasan perumahan sendiri.

Katanya, penyemburan ubat nyamuk yang tidak dikendalikan dengan betul, boleh mengakibatkan keracunan ke atas penyemburnya.

Menurutnya, sukatan ubat nyamuk yang terlalu kurang tidak dapat membunuh nyamuk, manakala sukatan yang terlampau banyak, mungkin berbahaya terhadap penyemburnya.

Beliau berkata, bilangan kes demam degggi meningkat secara mendadak pada minggu ke-47 tahun 2004 meningkat 600 kes seminggu kepada seribu kes seminggu.

Oleh itu, katanya, kerajaan telah mengetatkan pengawasan tetapi masih tidak mampu melaksanakan kerja penghapusan nyamuk di semua kawasan.

Katanya, kerajaan hanya boleh menjalankan pemeriksaan dan penyemburan ubat nyamuk di kawasan yang mencatatkan banyak bilangan kes.

Berikutan itu, katanya, kerajaan amat memerlukan kerjasama orang ramai untuk tempat pembiakan nyamuk aedes.