Tambatan ringgit: Pak Lah, Bank Negara tolak saranan Dr Mahathir
Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Bank Negara berkata tambatan ringgit akan kekal buat masa ini menolak cadangan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad supaya ianya dikaji semula.
Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Bank Negara berkata tambatan ringgit akan kekal buat masa ini menolak cadangan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad supaya ianya dikaji semula.
Abdullah, yang mengambil alih pemerintahan Dr Mahathir yang bertanggungjawab memperkenalkan langkah tersebut enam tahun lalu bersama pada Oktober 2003, berkata tambatan itu akan dikekalkan pada kadar RM3.80 bagi setiap dolar AS.
"Tiada perubahan akan dilakukan pada masa ini," katanya dalam laporan agensi berita nasional, Bernama.
"Apabila sampai waktunya untuk dilakukan perubahan bagi faedah rakyat, kami akan menimbangkan untuk melakukan perubahan pada waktu itu," katanya ketika diminta mengulas pandangan Dr Mahathir itu.
Abdullah yang juga Menteri Kewangan berkata, kementeriannya akan mengawasi dan melakukan analisis mengenai keadaan itu sepanjang masa.
Dr Mahathir yang memperkenalkan tambatan itu pada 1 September 1998 berkata nilai semasa ringgit masa ini terlalu rendah akibat kejatuhan dolar AS, wajar dikaji semula kerana ia merugikan negara terutamanya dalam urusniaga menggunakan matawang euro atau yen.
Sementara itu, Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata, sebarang semakan terhadap tambatan ringgit berbanding dolar Amerika akan mengambil kira prestasinya terhadap
sekumpulan mata wang lain dan bukan hanya berdasarkan satu mata wang.
Beliau mengulangi bahawa Malaysia tidak akan menimbangkan prestasi ringgit berbanding dengan hanya satu mata wang sahaja apabila melihat kemungkinan semakan tambatan ringgit.
"Kita tidak hanya melihat kepada satu mata wang. Kita melihat kepada banyak mata wang dan kestabilan kadar tukaran kita berbanding rakan dagang utama kita," kata beliau.
"Itu akan mengatasi objektif dasar kadar tukaran kita," kata beliau semasa diminta mengulas pandangan Dr Mahathir mengenai perkara itu.

