Wawancara bersama Menteri Besar Terengganu (Bhg 1)
eksklusif
Menteri Besar Terengganu Haji Abdul Hadi Awang memberitahu malaysiakini hasrat kerajaan PAS menubuhkan sebuah kerajaan berkonsepkan syariah.malaysiakini: Apakah jenis negara Islam yang akan diperkenalkan oleh kerajaan negeri Terengganu?
eksklusif
Menteri Besar Terengganu Haji Abdul Hadi Awang memberitahu malaysiakini hasrat kerajaan PAS menubuhkan sebuah kerajaan berkonsepkan syariah.malaysiakini: Apakah jenis negara Islam yang akan diperkenalkan oleh kerajaan negeri Terengganu?
Abdul Hadi: Ia adalah model kerajaan Islam yang diwajibkan agama Islam wujud kira-kira 15 abad yang lalu. Ideologi lain belum pernah ada model tetapi Islam telah membina model negara masyarakat majmuk, berbilang agama, berbilang bangsa yang memberi wilayah yang jauh dengan kepimpinan kepada pihak yang bukan sahaja dikawal dengan undang-undang lahiriyah tetapi menitikberatkan aspek spiritual, perhitungan dosa dan pahala.
Walaupun ada orang yang boleh melarikan diri daripada Badan Pencegah Rasuah (BPR), di dalam sebuah kerajaan, mereka tidak boleh lari daripada hukum Allah, kerana 'negara Islam bukan bererti perhitungandi dunia sahaja bahkan selepas kita meninggal dunia - aspek spiritual inilah boleh mendidik pihak yang bertanggungjawab untuk benar-benar menunaikan kewajipan.
Berapa lamakah agaknya sebelum negara Islam dapat ditubuhkan sepenuhnya di Terengganu?
Oleh kerana Barisan Nasional mengambil alih pemerintahan daripada penjajah British, tidak mudah kita buat perubahan dalam masa dua tiga tahun, walaupun saya merasakan perubahan berlaku dengan begitu cepat dan respons rakyat juga terlalu menarik. Tetapi kita sudah mulakan langkah-langkah untuk memperkenalkan konsep negara Islam.
Sebagai contoh, kita hidupkan semangat gotong-royong dalam mengerjakan projek kampung yang dulunya diambil alih oleh Jawatankuasa Kampung Kecil (JKKK) yang dikuasai Umno. Kita tak boleh boros. Mereka yang mencuri masa, yang mencuri elaun dan tidak membuat kerja juga diawasi.
Kenapakah agaknya berleluasa sikap tidak jujur dan mengkehendaki habuan besar untuk kerja yang dilakukan di kalangan kakitangan kerajaan negeri?
Ini adalah kerana sikap yang diwarisi dari kerajaan sebelum ini - pihak atasan menjadi contoh kakitangan bawahan, - mencuri masa dan mengambil kesempatan. Apabila kita mengambil alih, Exco yang memantau anak syarikat tidak mengambil elaun sebagai pengurus. Kita sendiri mulakan lebih dulu supaya diri kita menjadi contoh dalam membuat potongan perbelanjaan dan tidak boros. Umpamanya, kita tidak perlu ambil elaun kediaman, dan saya sendiri pun tidak kisah sangat tentang kos perjalanan.
Apakah maksud sebenar hudud yang diwar-warkan oleh media?
Sebenarnya, hudud hanya salah satu aspek dalam undang-undang jenayah Islam. Undang-undang jenayah Islam terbahagi kepada tiga:
Satu berhubung dengan qisas, yang mana hak itu diberi kepada mangsa untuk memaafkan. Kedua, hudud iaitu berkait dengan hak Allah swt dengan kepentingan moral, kepentingan masyarakat umum, yang berkait dengan rompakan, zina, menuduh orang lain berzina dan, meminum arak. Enam perkara sahaja yang dimasukkan dalam hukuman hudud. Hudud bermaksud batasan. Ketiga adalah takzir, yang terpulang kepada budi bicara kehakiman untuk menggubal undang-undang yang mencegah jenayah daripada berlaku.
Bolehkah Tuan Guru menerangkan bagaimana hudud sepatutnya dilaksanakan?
Hukuman hudud sepatutnya lebih dalam aspek mendidik. Sebagai contoh hukum potong tangan tidak boleh dibuat seweneng-weneng. Yang menghukum hendaklah melihat kepada situasi pencuri - adakah kerana gaji tak cukup.
Hendaklah dikaji dari segi mangsa - adakah terdapat hubungan persaudaraan dengan pencuri? Kalau hubungan pencuri dan mangsa dekat seperti ayah dan anak, itu tidak boleh dikenakan hudud.
Dan hendaklah dilihat juga sama ada pencuri ada hak sama dalam barang yang dicuri. Sekiranya harta kerajaan yang dicuri, bila mencuri barang kerajaan tak boleh dikenakan hudud. Kerana pencuri ada hak sama dalam harta kerajaan. Barang yang dicuri - berapa harga dan di mana disimpan barang. Suasana masyarakat - kalau negara dalam perang, ekonomi meleset tak boleh kena hudud.
Mestilah dibicarakan kes dengan saksi sebelum bersabit dengan hukuman. Saksi mesti seorang yang adil, jujur, tidak mengerjakan dosa besar. Dan saksi dan pencuri mesti dibicara serentak. Islam menggalakkan pencuri dimaafkan dan bertaubat.
Seorang hakim hendaklah mencari jalan bagaimana hendak membebaskan daripada hudud. Di dalam Islam, bukan kerja hakim untuk menghukum seseorang, dengan berusaha juga mencari kesalahan. Itu tak boleh. Kesilapan membebaskan orang yang bersalah lebih baik daripada menghukum orang yang tidak bersalah, berdasarkan kaedah Islam. Hukuman hudud lebih bersifat pendidikan tetapi meggerunkan. Belum dilakukan hudud, orang sudah takut.
Negara manakah yang sudah ada pelaksanaan hudud dan boleh dijadikan model?
Iran dan Arab Saudi. Kerana di situ, kalau nak cari 10 kes pencurian pun payah, tapi negara kita beribu. Ini kerana dari segi psikologi, mereka takut nak jalankan jenayah. Jadi menyebabkan payah dilaksanakan hudud.
Jangan kita fikir kerana jika ada 40,000 pencuri di negara kita hari ini, maka 40,000 orang akan kudung tangan. Bila dilaksanakana undang-undang syariah, 40,000 pencuri ini akan berhenti daripada mencuri. Inilah kebaikan hudud.
Apakah Tuan Guru berpendapat hudud akan diterima oleh rakyat Terengganu?
Sebelum British, hudud sudah pun dilaksanakan di Terengganu. Terengganu dulu sebuah negara Islam yang mandaulatkan syariah. Oleh sebab itu PAS lebih mudah bertapak di Terengganu. Tetapi kerana pengkhianatan demokrasi oleh Umno, PAS tumbang pada awal 1960-an. Kita tawan balik dengan kekuatan yang luar biasa, dengan pertolongan Allah swt. Hari ini, mereka yang mengkaji hudud secara ilmiah, dapat menerimanya..
Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas, semasa menggubal kanun jenayah Negeri Kelantan, beliau menunjukkan keyakinan. Saya masih ingat beliau mengatakan kalau hudud ini dilaksanakan, saya yakin hakim akan lebih berehat kerana mahkamah jarang bersidang kerana orang berhenti melakukan jenayah. Hari ini, banyak kes yang bertambah yang tak dapat dibicarakan.
Sekiranya Terengganu menjadi sebuah negara Islam, adakah ia akan menjadi sebuah Afghanistan di bawah Taliban, Iran atau Saudi Arabia?
Asal dan sumber negara Islam bukan Iran atau Taliban tetapi berlandaskan Quran dan Hadis. Suasana di negara-negara ini lain, watak masyarakat lain. Itu kita kena sedar. Di sana 100 peratus Islam, kita dalam masyarakat majmuk - jadi lain. Kerajaan negeri Terengganu sedang menggubal undang-undang dan drafnya sebahagian sudah selesai.
Bagaimanakah Tuan Guru memastikan hak rakyat bukan Muslim tidak terjejas?
Saya turun ke bawah dan berjumpa dengan mereka. Sejak saya menjadi MB, saya sudah tiga kali berdialog dengan bukan Muslim di kampung mereka, di tempat mereka sendiri dan dengar aduan mereka. Saya tidak berpandukan beberapa orang pemimpin MCA yang berada di atas yang tidak tahu keadaan di bawah. Saya juga menerima kunjungan daripada rakyat bukan Islam.
Semasa di bawah BN, penjualan daging khinzir payah dan penternakan khinzir juga tidak dibenarkan. Tetapi sekarang, di bawah PAS, Terengganu membenarkan penjualan daging khinzir dan penternakan khinzir? Adakah cara liberal ini untuk memancing undi?
Ini bukan kena-mengena dengan masalah liberal. Kita memberi hak mereka. Di dalam negara Islam, kita hendaklah memberikan hak menganut agama, hak menganut budaya kepada bukan Muslim. Ianya tidak mengganggu masyarakat lain dan kegiatan itu hendaklah menjamin tidak mengganggu. Itu syarat - tidak akan mengganggu. Sebagai contoh, Jalan Kampung Cina. BN ubah nama kepada Jalan Bandar, masyarakat Cina minta saya ubah. Maka saya tunaikan tuntutan mereka.
Dulunya pintu gerbang masuk Kampung Cina, hendaklah dibayar kepada majlis perbandaran RM600 setahun, banyak sangat. Mereka minta hapuskan, saya hapuskan.
Kalau orang Islam diberi kemudahan, maka rakyat juga diberi kemudahan, umpamanya cukai pintu kediaman, sebahagian besar orang Tionghua tinggal di bandar dan mereka menikmati penghapusan cukai pintu ini.
Apabila royalti ditarik balik kerajaan persekutuan, apakah masalah yang timbul?
Masalah yang timbul adalah dari segi menyambung beberapa projek infrastruktur yang belum disempurnakan. Masih ada rakyat yang belum dapat bekalan air dan elektrik, termasuk mereka yang tinggal hampir dengan hidro Kenyir.
Rakyat di sektor pertanian dan nelayan perlu dibantu. Mereka sudah diabaikan selama 20 tahun dengan royalti petroleum RM7 ribu juta sedangkan negeri pula dibebankan RM700 juta. Kita baru melangkah membetulkan keadaan dengan belanjawan untuk keperluan rakyat. Itu di peringkat awal semasa kita masih menerima royalti pada Februari 2000. Semasa menerima royalti awal, kita menambah bantuan kepada fakir miskin, pegawai masjid, menambah imbuhan kepada pemimpin masyarakat Majlis Syura Rakyat yang dulunya Jawatankuasa Kampung Kecil. Ini semua kerajaan BN tidak buat selama 20 tahun.
Kenapa agaknya kerajaan persekutuan menarik balik royalti dari kerajaan negeri?
Sekarang mereka dalam keadaan lemas dan melakukan apa sahaja, termasuk merampas royalti dengan melanggar perjanjian yang bercanggah dengan akhlak dan adab negara yang bertamadun.
Adakah kerajaan negeri akan terus menuntut royalti walaupun kerajaan persekutuan sudah menyatakan ini bukan hak kerajaan negeri Terengganu?
Isu royalti ini akan diteruskan. Kita sudah failkan di mahkamah. Sepatutnya jawapan ada, tetapi sehingga hari ini, tidak ada jawapan.
Dengan tidak adanya royalti sekarang, bagaimanakah Terengganu bercadang untuk mendapatkan pendapatan alternatif?
Pertama sekali, dengan berjimat-cermat. Kita juga meluluskan tanah pertanian dan perumahan, di mana kita memperoleh premium bagi tanah dari rakyat . Harganya lebih murah sekiranya dibanding dengan membeli tanah. Anak-anak syarikat kerajaan negeri yang untung juga memberikan hasil kepada kerajaan negeri. Masih ada hasil balak di Terenganu. Kerajaan dulu mengabaikan hasil balak dan banyak hasil balak yang tercicir, bocor dan banyak yang hilang. Dengan pelaksanaan secara rapi, pulangan kepada kerajaan negeri bertambah. Kita juga memanfaatkan beberapa hasil pertambangan yang didapati di Terengganu.
Apakah Terengganu ada hasil pertambangan selain petroleum, yang boleh dilombong secara menguntungkan?
Beberapa tempat di Terengganu dipastikan ada emas, di Marang, Dungun dan Besut. Kita akan mula melombong emas dengan melibatkan rakyat. Lombong secara tradisional memberi pekerjaan kepada mereka dan bahagian kerajaan pula menggunakan jentera berat yang tak melibatkan rakyat. Rakyat hanya mendulang. Rakyat diberi 60 peratus dan kerajaan memperoleh 40 peratus. Bahkan di peringkat awal, kerajaan 60, rakyat 40 pun mereka gembira.
Adakah kerajaan persekutuan dapat membolot hasil perlombongan emas ini, sebagaimana mereka lakukan ke atas petroleum?
Menurut undang-undang, ini adalah hak kerajaan negeri 100 peratus. Mengikut undang-undang asal termasuklah petroleum, sekiranya di daratan dan persisiran pantai,100 peratus milik kerajaan negeri. Itu asalnya. Maka dimeteraikan memastikan negeri menyerah seratus peratus petroleum di darat ini kepada Petronas dan Petronas hendaklah membayar lima peratus royalti daripada hasil petroleum sama ada di darat atau di laut. Lima peratus itu sebagai ganti kepada kerajaan negeri. Ini melibatkan petroleum sahaja. Tak berkait dengan hasil pertambangan lain.
Cara alternatif yang disebutkan mungkin mengambil masa yang panjang sebelum hasilnya dapat dilihat, apakah pendapatan cara cepat untuk perbelanjaan kerajaan sekarang?
Bagi menampung keperluan rakyat yang ditimpa kemalangan, bencana dan sebagainya, kita menganjurkan Tabung Darul Iman yang kini berjumlah RM4 juta. Itu disumbangkan oleh anak-anak syarikat kerajaan negeri dan pegawai-pegawai exco kerajaan juga menyedekahkan gaji sebulan sebagai sedekah. Ada juga sumbangan individu.
Dan sehingga hari ini, kerajaan negeri juga dapat mengumpulkan zakat sebanyak RM20 juta. Satu jumlah yang lebih berbanding tahun 1999 yang hanya mengumpul RM11 juta lebih. Tahun 2001 ini, menunjukkan zakat yang dikumpul mungkin akan lebih banyak.
Apakah zakat ini ada disimpan di dalam bank untuk mengaut riba, sebagaimana dilakukan negeri lain?
Yang itu kita perbetulkan. Duit riba ini dihapuskan dari akaun riba dan duitnya diambil dibelanjakan untuk kebajikan orang ramai. Itu menurut hukum Islam, bertaubat dari riba, dipindahkan ke dalam akaun semasa yang tidak ada bunga atau akaun yang ada keuntungan tanpa terhad, menurut syariah dan duit riba itu dibelanjakan untuk rakyat. Hanya negeri Terengganu dan Kelantan sahaja yang tidak mengaut riba.
Apakah cara kerajaan negeri membantu nelayan, petani dan peniaga kecil?
Itu termasuk kalangan fakir miskin, kalangan petani dan nelayan Kita tambah peruntukan untuk fakir miskin dengan bantuan fakir miskin. Kita juga bantu usahawan. Peruntukan ditambah menggunakan royalti RM400 ribu yang kita dapat pada awalnya. Tetapi program ini terhalang kerana royalti dirampas.
Adakah wang ehsan sudah disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan kepada fakir miskin sebagaimana yang dijanjikan?
Walaupun Umno mengembar- gemburkan wang ehsan dibagi kepada orang yang tidak berada tetapi berlaku cara lama di mana pemimpin Umno peringkat bawahan menggunakan wang ini untuk mereka dan kroni mereka - tak sampai kepada rakyat yang sebenar. Kalau sampai pun tak sepenuhnya. Banyak rungutan daripada rakyat dan sudah timbul satu keadaan yang sebaliknya iaitu menguntungkan kita.
Bahagian kedua bersambung pada hari Isnin.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.