Para spekulator menjangka Malaysia akan tunduk kepada tekanan supaya mengkaji semula tambatan ringgit dengan dolar Amerika yang semakin merosot nilainya, manakala ramai penganalisa berpendapat bukan sahaja kajian semula itu perlu, tetapi yakin kerajaan akan berbuat demikian tidak lama lagi.

Pelaburan asing mencurah masuk ke Malaysia dan dalam suku keempat tahun lalu sahaja, rizab asing negara meningkat 19 peratus atau RM40.9 bilion (AS410.7 bilion), demikian menurut kertas penyelidikan Barclay Jumaat lalu.

Menurutnya, ulasan pakar ekonomi, termasuk orang yang bertanggungjawab memperkenalkan tambatan matawang itu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa masanya sudah tiba untuk berbuat demikian, "dijangka akan meningkatkan aliran masuk modal".

Ia meramalkan perubahan dalam tambatan ringgit RM3.80 bagi setiap dolar itu, akan dibuat pada pertengahan tahun ini, manakala pakar ekonomi lain menggesa supaya ianya dilakukan segera.

Dalam reaksinya terhadap gesaan Dr Mahathir itu, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad berkata minggu lalu bahawa tiada sebarang perubahan pada masa ini, tetapi turut membayangkan kerajaan bersedia mengambil tindakan yang fleksibel.

"Jika masanya sudah tiba untuk membuat perubahan untuk kebaikan rakyat, kita akan menimbang perubahan tersebut ketika itu," kata Abdullah yang juga Menteri Kewangan.

Pembetulan nilai ringgit

Turut menambah tekanan ke arah itu, minggu lalu, Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) menegaskan bahawa "peluang" untuk membuat perubahan itu semakin 'mengecil'.

Malah, MIER juga mengingatkan bahawa kegagalan untuk bertindak secepat mungkin, boleh menjejaskan proses pembetulan nilai ringgit.

"Memandangkan prospek ekonomi global semakin tidak menggalakkan dalam tempoh dua tahun akan datang, dan nilai dolar dijangka terus merosot, nampaknya sekaranglah masa yang baik untuk pihak berkuasa kewangan menimbang untuk memansuhkan tambatan matawang itu," kata Pengarah Eksekutif MIER, Mohamed Ariff minggu lalu.

Tetapi tekanan yang paling menonjol datangnya dari Dr Mahathir yang memperkenalkan kawalan matawang itu sewaktu krisis ekonomi Asia pada 1997/98, walaupun ianya bertentangan dengan nasihat Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

IMF kemudiannya mengakui bahawa tindakan Dr Mahathir itu telah membantu Malaysia menangani krisis tersebut dengan lebih berkesan berbanding dengan negara-negara jirannya yang lain.

Dr M: Kita rugi besar

Dr Mahathir yang bersara pada bukan Oktober 2003, selepas 22 tahun memerintah, berkata kemerosotan teruk nilai dolar bermakna import dari Jepun, Eropah dan dari tempat-tempat lain menjadi lebih mahal.

Kedudukan lemah dolar mengakibatkan nilai ringgit Malaysia turut terjejas, berbanding dengan matawang utama yang lain, dan kerana itu, Dr Mahathir berkata sudah tiba masanya ia dikaji semula "kerana kita rugi besar apabila nilai wang kita jatuh."

Anggaran nilai ringgit oleh pihak bank dan badan-badan penyelidikan meletakkannya pada kadar RM3.30 bagi setiap dolar, dan bukannya lagi pada kadar RM3.80.

Selepas kenyataan Dr Mahathir itu, Standard and Poor's, Khamis lalu, berpendapat, demi kebaikan Malaysia sendiri, ia perlu membuat keputusan tegas dalam hal tersebut kerana ianya turut memberi kesan kepada kemasukan modal ke negara ini.

Ketika ramai pakar ekonomi percaya perubahan tidak dapat dielakkan, perhatian kini tertumpu kepada bentuk perubahan itu nanti di mana ramai yang meramalkan ringgit akan ditambat kepada dolar pada kadar lebih tinggi atau ringgit diapungkan semula dengan mata-matawang dunia yang lain.

Spekulasi bahawa China mungkin membuat penyesuaian terhadap tambatan matawangnya dengan dolar dan membenarkan nilai yuen meningkat, telah menguatkan lagi jangkaan, Malaysia juga akan berbuat demikian.

Bagaimanapun, menurut Barclays Capital, apa juga langkah yang diambil oleh Kuala Lumpur akan didorong oleh keutamaan-keutamaan Malaysia sendiri.

- AFP