Msia anjur Sidang Kemuncak Negara Islam atas permintaan Saudi
Sebagai menyambut gesaan Arab Saudi, Malaysia bersetuju untuk menganjurkan sidang kemuncak ketua-ketua negara Islam untuk mencari penyelesaian terhadap masalah persengketaan dan perpecahan dalam dunia Islam.
Sebagai menyambut gesaan Arab Saudi, Malaysia bersetuju untuk menganjurkan sidang kemuncak ketua-ketua negara Islam untuk mencari penyelesaian terhadap masalah persengketaan dan perpecahan dalam dunia Islam.
Menurut laporan media tempatan hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, selaku Pengerusi Persidangan Pertubuhan Negara Islam (OIC), memberitahu wartawan Malaysia di Paris bahawa beliau akan menugaskan menteri luar ke Riyadh untuk membincangkan rancangan tersebut.
Jumaat lalu, Putera Mahkota Saudi, Abdullah Abdul Aziz, menggesa Malaysia supaya menganjurkan sidang kemuncak itu "supaya kita boleh menyelesaikan, dengan izin Tuhan...perpecahan dan persengketaan" di kalangan umat Islam.
"Sidang kemuncak itu, perlu didahulu dengan mesyuarat di kalangan para sarjana dan cendiakawan (negara Islam)...untuk menggariskan visi masa depan, dan sekaligus membantu mengumpulkan para pemimpin, yang saya harap dapat diadakan di sini, di tanah suci ini," tambahnya.
Agenda mengenai Iran?
Para pemimpin tersebut juga akan "mencari pendirian bersama dan memperkukuhkan lagi ikatan sesama Islam', kata Putera Mahkota Abdullah.
Manakala Abdullah, yang kini berada di Paris menghadiri persidangan biodiversiti, memberitahu pemberita bahawa mesyuarat awal akan diadakan secepat mungkin untuk mengenalpasti skop dan topik perbincangan di sidang kemuncak tersebut.
"Kita tidak mahu sidang kemuncak itu tanpa fokus dan membabitkan perbincangan yang tidak terarah yang tidak menghasilkan sebarang kesimpulan yang dapat diterima," tambahnya.
Ditanya sama ada sidang kemuncak itu akan dianjurkan selepas Presiden Amerika, George W Bush enggan menolak kemungkinan menyerang Iran, Abdullah berkata: "Biarlah kita berbincang mengenai masalah kita dulu. Jika tidak, kita akan menjadi keliru. Jika kita lemah, orang lain akan mengancam kita".
Abdullah berkata, sidang kemuncak itu, antara lain, akan menyentuh isu-isu politik dan Islam, demikian menurut laporan Bernama .
- AFP

