Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengketepikan hukuman penjara 12 bulan ke atas aktivis Adam Adli Abdul Halim yang disabitkan dengan kesalahan hasutan.

Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Rahman sebaliknya menggantikan hukuman itu dengan mengenakan denda sebanyak RM5,000.

Menurut tweet Ahli Parlimen Batu, Tian Chua yang hadir di galeri awam untuk menyokong Adam Adli, hakim membuat keputusan berkenaan kerana kenyataan aktivis itu tidak mencetuskan perkara yang tidak diingini.

Adam Adli disabitkan kesalahan hasutan kerana mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan untuk menggulingkan kerajaan menerusi demonstrasi jalanan dalam satu ceramah, Mei 2013.

Kesalahan itu dilakukan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor di Jalan Maharajalela, Dang Wangi di Kuala Lumpur.

Pendakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum denda RM5,000 atau penjara lima tahun, jika sabit kesalahan.

[Baca berita penuh]