Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Najib: Pengganti gabenor BNM akan segera diumum
Diterbitkan:  Feb 18, 2016 3:28 PM
Dikemaskini: 7:47 AM

Kerajaan akan memutuskan dalam waktu terdekat berhubung pelan pengganti Gabenor Bank Negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bercakap kepada wartawan Malaysia di San Francisco pada akhir lawatan kerja seminggu beliau di Amerika Syarikat, pada Rabu (Khamis di Malaysia), Najib berkata kerajaan yang perlu buat keputusan berhubung perkara itu.

Perdana menteri diminta mengulas tentang pelan pengganti serta laporan berita memetik Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz sebagai berkata yang beliau tidak mahu ahli politik mengambil alih jawatan di Bank Negara.

Zeti, yang bakal bersara pada April, berkata di Kuala Lumpur bahawa beliau tidak akan menyambung khidmat untuk satu lagi penggal.

Beliau berkata proses mencari pengganti sedang dibuat oleh Jawatankuasa Tadbir Urus Lembaga Bank Negara Malaysia yang dianggotai pengarah-pengarah bebas daripada sektor swasta.

Menjawab soalan lain, Najib berkata sebaik pulang ke tanah air beliau akan berbincang dengan timbalannya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung cadangan pengambilan 1.5 juta pekerja Bangladesh yang telah mencetuskan kebimbangan banyak pihak.

"Saya fikir kami perlu memastikan apa juga langkah yang kami ambil perlu memenuhi keperluan ekonomi. Beberapa sektor ekonomi memerlukan pekerja seperti industri perladangan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengambil perhatian bahawa kerajaan perlu menangani kebimbangan berhubung masalah sosial yang mungkin timbul daripada kemasukan pekerja asing dalam jumlah yang banyak.

Ahmad Zahid berkata kerajaan bercadang membawa masuk 1.5 juta pekerja Bangladesh bagi memenuhi keperluan industri, tetapi banyak pihak menyatakan kebimbangan tentang impak daripada langkah itu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS