PAS mahu Umno Terengganu segera menetapkan tarikh pertemuan kali kedua antara kedua-dua parti itu bagi memastikan debat mengenai isu cukai pintu menjadi kenyataan.

Ketua Penerangan PAS Terengganu, Yahya Ali berkata, pihaknya telah menghubungi pejabat Perhubungan Umno Negeri beberapa hari lalu tetapi mendakwa tiada usaha bersungguh-sungguh dari Umno untuk mengadakan pertemuan kali kedua itu.

"Berhubung debat cukai pintu, saya nak respon kenyataan terbaru kerajaan negeri melalui laman webrasmi kerajaan di mana Menteri Besar Datuk Seri Idris Jusoh menyatakan PAS tidak bersedia dan tidak ikhlas untuk berdebat khususnya berhubung isu cukai pintu.

"Kenyataan itu saya fikir sangat tidak bertanggungjawab apabila beliau (Idris) lepas tangan dengan menyatakan isu itu telah dibawa oleh Ketua Penerangan Umno (Ahmad Shabery Chik), maka beliau lah yang bertangggungjawab," katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu hari ini.

Menurut Bernama , Yahya berkata, PAS bersedia untuk berdebat dengan Umno pada bila-bila masa kerana isu itu melibatkan kepentingan rakyat dan mereka perlu mengetahuinya.

'Bola' di kaki Umno

Katanya Umno tidak perlu bimbang atau takut untuk berdebat mengenai cukai pintu kerana isu itu merupakan cadangan daripada Umno sendiri.

Menurutnya, pertemuan pertama diadakan pada 12 Januari lalu di mana kedua-dua pihak hanya berbincang soal dasar seperti bersetuju debat diadakan selepas Tahun Baru Cina, manakala pemilihan ahli panel dan pengerusi debat akan diputuskan dalam pertemuan kali kedua.

"Saya katakan dalam isu debat ini umpama "bola" berada di kaki Umno, maka dialah yang perlu mengambil inisiatif supaya debat ini menjadi kenyataan," katanya.

Menurut Yahya, dalam pertemuan pertama itu, PAS mencadangkan supaya debat itu diadakan di tempat terbuka seperti di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah yang boleh menampung jumlah hadirin yang ramai selain ianya lebih selesa.

"Bagaimanapun ia tidak dipersetujui Umno sebab ianya melibatkan soal keselamatan dan mencadangkan supaya debat itu diadakan secara tertutup.

"PAS serius terhadap isu itu kerana ia melibatkan kepentingan rakyat dan ianya menjadi perbualan di mana-mana, untuk mendapat penjelasan sebenar...tidak munasabah isu yang penting kepada rakyat itu diadakan di tempat tertutup," katanya.