‘Marijuana boleh kurangkan ketegangan krisis kepimpinan’
Marijuana boleh memberi manfaat kepada rakyat Malaysia, dan juga membantu meredakan ketegangan ke atas pelbagai isu di negara ini, kata seorang ahli Umno.
“Keadaan sekarang rakyat begitu tertekan... (Mereka bimbang dengan) isu kos sara hidup, isu kepimpinan negara.
“(Zaman sekarang) kalau kerana kena tipu RM50, boleh jadi macam-macam. Jadi decriminalising (mejadikan penggunaan ganja sebagi bukan kesalahan) boleh menenangkan keadaan,” kata Syed Rosli Jamalullail kepada Malaysiakin i.
Memetik pengalaman hidupnya di Belanda, di mana penggunaan ganja adalah sah mengikut undang-undang, Penolong Setiausaha Pemuda Umno Cawangan Pusat Bandar Taman Chempaka, Bahagian Pandan itu berkata rakyat negara itu lebih ‘rileks’ dan kadar jenayah adalah rendah.
Menurut Syed Rosli, kunci kepada penggunaan ganja selamat adalah kesederhanaan.
“Kena guna dengan moderate, kita kena guna sukatan yang betul.
“Kalau kita minum teh tarik sehari 4 kali, walaupun teh itu asalnya baik, kalau ambil lebih boleh (kena) diabetik.
“Rokok dan arak juga bahaya dan boleh membunuh... takde orang mati pasal ganja,” katanya.
Semalam, wakil rakyat Parlimen Belia Selangor Muhamad Ridhwan Muhamad Rosli mencadangkan supaya penggunaan ganja tidak dijadikan suatu kesalahan kerana ramai belia yang menganggapnya sebagai ubat.
Beliau juga berkata bahawa penggunaan ganja adalah sah di Amerika Syarikat dan Australia, yang menjadi anggota Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang turut disertai oleh Malaysia.

