Penduduk setinggan pulau majlis cabutan undi rumah sewa DBKL
Seramai 37 keluarga setinggan Kampung Sungai Udang, Segambut Kuala Lumpur yang diarahkan berpindah, telah memulaukan majlis cabutan undi rumah anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini.
Seramai 37 keluarga setinggan Kampung Sungai Udang, Segambut Kuala Lumpur yang diarahkan berpindah, telah memulaukan majlis cabutan undi rumah anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini.
Majlis cabutan undi itu adalah untuk membolehkan mereka menyewa rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Wahyu 1, Jinjang Kuala Lumpur yang sepatutnya diadakan jam 9 pagi tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Penduduk Kampung Sungai Udang, Mohamad Yaacob berkata, mereka mahu membeli rumah dan bukannya menyewa seperti yang ditawarkan oleh DBKL..
"Lagipun majlis ini dibuat secara tergesa-gesa kerana surat yang dihantar kepada penduduk bertarikh 18 Januari lalu. Kami sudah nyatakan pilihan kami ialah rumah pangsa 16 tingkat yang sedang dalam pembinaan di Taman Cupecs Seri Segambut," katanya.
Sebelum itu beliau menghantar memorandum kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ruslin Hassan. Memorandum itu diterima oleh Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan DBKL, Mohamad Amin Nordin Aziz di Bangunan DBKL hari ini.
Surat yang ditandatangani oleh dari Pengarah, Jabatan Pengurusan Perumahan DBKL, Noor Arzmi Mohd Yusoff bertarikh 18 Januari lalu, meminta Mohamad dan 36 penduduk lain menghadiri cabutan undi untuk menyewa rumah PPR Taman Wahyu 1, Jinjang Kuala Lumpur.
Projek lurus sungai
Penduduk memilih rumah pangsa kos rendah di Taman Cuepacs Seri Segambut kerana ia berdekatan dengan rumah setinggan yang mereka diami di Kampung Sungai Udang.
Mereka juga telah pergi menemui pemaju Taman Cuepacs iaitu Megah Kepong Sdn Bhd untuk membeli rumah pangsa kos rendah tersebut tetapi diberitahu bahawa ia telah diserahkan kepada DBKL.
Memorandum itu antara lain menyatakan, penduduk tidak menentang projek pelurusan sungai diteruskan, cuma memohon projek pembesaran takungan ditangguhkan sementara sehingga pemindahan selesai.
Penduduk juga setuju berpindah dengan syarat diberi rumah mampu milik sepertimana yang telah diperbincangkan antara wakil penduduk dengan DBKL sebelum ini.
"Rumah kos rendah yang dijual kepada kami hendaklah berharga RM35,000 atau ke bawah iaitu harga munasabah yang biasa ditawarkan kepada kebanyakan setinggan yang terlibat dengan pemindahan," kata memorandum itu lagi.
Menurut Mohamad, sebelum ini beberapa pihak termasuk Umno Bahagian Segambut telah beberapa kali mengadakan perbincangan dengan DBKL untuk mencari jalan menyelesaikan masalah tersebut.
Mahu beli rumah
Ketua Umno Bahagian Segambut Senator Datuk Kamaruddin Ambok dalam satu mesyuarat dengan Pegawai-pegawai kanan DBKL pada 30 Ogos lalu berkata, beliau tidak mempunyai halangan jika penduduk yang terlibat mahu berpindah ke mana-mana kawasan penempatan yang ditetapkan oleh DBKL.
Beliau juga meminta DBKL memberi keutamaan kepada penduduk yang terlibat dengan pemindahan itu supaya dapat membeli rumah yang di bawah kuasa DBKL di kawasan Segambut.
Penduduk setinggan Kampung Sungai Udang diarahkah berpindah kerana rumah mereka terlibat dengan projek pembinaan tangkungan banjir yang akan dijalankan oleh DBKL.
Mohamad Amin berkata, projek tangkungan air tersebut akan diteruskan kerana ia telah diluluskan untuk dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Kelapan lagi.
"Baru-baru ini Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Mohd Isa Samad mengarahkan DBKL meneruskan projek tersebut tanpa sebarang penangguhan lagi," katanya.
Beliau berkata, DBKL akan membantu penduduk Sungai Udang yang terlibat dengan pemindahan tersebut dengan memberikan penempatan yang kekal kepada mereka.
Pampasan RM1,000 sekeluarga
Mengenai permintaan penduduk yang mahu berpindah ke Taman Cuepac, Mohamad Amin berkata, beliau akan berbincang dengan pemaju adakah projek perumahan tersebut akan diserahkan kepada DBKL.
Menurutnya, polisi DBKL ialah semua mereka yang terlibat ditawarkan rumah dengan harga RM42,000 seunit dan diberikan pampasan pemindahan sebanyak RM1,000 sekeluarga.
"Masalahnya adakah semua 37 keluarga dari Kampung Sungai Udang yang diarahkan berpindah ini mampu untuk membeli rumah kos rendah Taman Cuepac tersebut?," katanya.
Menurutnya, mereka yang merasakan tidak mampu untuk membeli rumah tersebut bolehlah mencari penempatan lain yang sesuai dengan mereka.
Beliau bagaimanapun, memberi jaminan untuk membantu penduduk mendapatkan rumah yang sesuai untuk mereka.

