'Karate kid' akan pulangkan sumbangan lepas bertemu MSN
Pemenang pingat emas bagi acara karate Sukan Komanwel, Nastenka Sureshar berkata dia akan memulangkan wang sumbangan orang ramai untuk membiayai pendidikannya selepas pertemuannya dengan pegawai Majlis Sukan Negara Malaysia (MSN)
Dia mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang telah menyumbang kepadanya melalui Skolafund, tetapi mengumumkan bahawa dia tidak akan menerima sumbangan yang telah terkumpul itu.
Ini kerana, katanya, melalui program pelapis MSN, tidak ada lagi keperluan untuk dana tersebut kerana sebahagian besar perbelanjaannya akan ditanggung.
Dalam surat terbukanya semalam, Nastenka berkata tahun lalu, MSN menawarkan kepadanya untuk menyertai program tersebut tetapi dia telah membuat keputusan terburu-buru untuk tidak menerimanya, yang kemudian meletakkannya dalam kedudukan yang sukar.
"Selepas mendapat perhatian yang amat menggalakkan terhadap permintaan saya untuk bantuan kewangan dari pelbagai pihak, saya membuat keputusan untuk bertemu sekali lagi dengan pegawai MSN untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai pakej latihan yang ditawarkan kepada saya tahun lepas untuk menjadi atlet di bawah program pelapis tersebut.
"Pada masa itu, saya menolak tawaran tersebut, dan saya kini telah sedar bahawa ia adalah satu keputusan yang tidak bijak kerana saya sangat tertekan dengan peperiksaan akhir saya pada masa itu," katanya.
Nastenka berkata tawaran itu akan membolehkannya untuk berlatih sepenuh masa dan pada masa yang sama, belajar di Universiti Tenaga Nasional (Uniten) tanpa perlu bimbang tentang penginapan, makan, pengangkutan, dan rawatan perubatan. Dia juga akan menerima elaun bulanan.
Katanya, dia telah memutuskan untuk menarik balik keputusannya sebelum ini dan akan menerima tawaran itu.
Dia juga merayu kepada Persekutuan Karate Malaysia (Makaf) dan MSN mempertimbangkan semula untuk membolehkannya berlatih sepenuh masa di Bukit Jalil.
"Apabila saya bertemu dengan pegawai MSN hari ini (Khamis), saya juga amat gembira kerana mereka memberi jaminan bahawa mereka masih mempunyai ruang untuk menerima permohonan saya," katanya.
Nastenka juga memohon maaf kepada Makaf, Kementerian Belia dan Sukan dan MSN kerana menyebabkan timbul "salah faham yang tidak sepatutnya" itu.
"Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa saya tidak menyalahkan Makaf, KBS dan NSCM berhubung perkara itu kerana mereka telah banyak menyumbang kepada latihan dan pertandingan saya dan keputusan saya untuk menggunakan Skolafund adalah semata-mata untuk menambah wang poket saya sendiri," katanya.
Oleh itu, dia merayu supaya perkara ini tidak berpanjangan kerana dia ingin menumpukan perhatian sepenuh masanya untuk latihan dan bagi mencapai matlamatnya untuk menjadi seorang atlet yang akan mengharumkan nama Malaysia pada masa depan.
Ahad lalu, Malaysiakini menyiarkan usaha Nastenka untuk mendapatkan sumbangan orang ramai sebanyak RM6,350 bagi menampung belanja makan, penginapan, dan pengangkutan selama enam bulan di Uniten.
Usahanya itu mendapat perhatian orang ramai dan sehingga hari Rabu, dia telah mengumpulkan RM6,995.80 melalui skolafund manakala Wanita MIC juga menawarkannya elaun bulanan sebanyak RM1,000 selama enam bulan.
Nastenka berkata dia beralih untuk mendapatkan sumbangan orang ramai selepas gagal mendapat biasiswa dari KBS, yang menilainya sebelum dia memenangi pingat emas di Sukan Komanwel 2015

