Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
LGE: Tamatkan khidmat 2 ADUN PKR sebagai pengarah GLC 'perkara pentadbiran'

Dua wakil rakyat PKR yang berkecuali daripada mengundi menentang usul Umno untuk menghentikan semua projek penambakan di Pulau Pinang sewaktu sidang Dewan Undangan Negeri November lalu, telah ditamatkan perkhidmatan mereka sebagai pengarah dalam syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC).

ADUN Bukit Tengah, Ong Chin Wen, telah ditamatkan khidmatnya sebagai pengarah Penang Invest dan Island Golf Properties Bhd, sebuah anak syarikat Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang.

Sementara itu, ADUN Kebun Bunga, Cheah Kah Peng ditamatkan khidmatnya sebagai pengarah di Perbadanan Bukit Bendera.

Ong mengesahkan menerima surat penamatan khidmatnya itu tetapi enggan mengulas lanjut. Cheah masih belum mengulas mengenai perkara itu.

Ketika dihubungi, Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata, jawatan itu dilantik di bawah syarikat-syarikat di mana beliau menjadi pengerusinya.

"Apabila anda hilang keyakinan terhadap seseorang yang bersetuju dengan anda dan kemudian memungkiri janji mereka, bagaimana mereka boleh berfungsi dengan berkesan dan secara profesional, terutamanya bila saya jadi pengerusi," kata Lim.

Lim menjelaskan bahawa kedua-duanya menimbulkan kemarahan rakan-rakan mereka dalam kerajaan negeri apabila mereka sebelum ini telah bersetuju untuk tidak menyokong usul Umno, yang dibentangkan oleh ADUN Pulau Betong, Muhammad Farid Saad November tahun lepas.

"Mereka kemudiannya menikam kami dari belakang apabila mereka berkecuali daripada mengundi menentang usul itu.

"Sekarang, kita tidak yakin mereka akan dapat berfungsi secara profesional dan berkesan dan jika saya, sebagai seorang pengerusi, tidak mempunyai keyakinan terhadap anda, maka anda perlu tahulah apa yang patut dibuat," kata Lim.

Lim berkata, tiga lagi wakil lain PKR - Lee Khai Loon (Machang Bubok), T Jayabalan (Batu Uban), dan Norlela Ariffin (Penanti), yang juga berkecuali daripada mengundi menentang usul Umno itu - tidak terjejas.

Ong, yang juga whip PKR di Dewan Undangan Negeri telah berkata kelima mereka "mengundi berdasarkan suara hati", manakala Cheah ketika berucap di konvensyen PKR di Selangor berkata "wakil PKR akan terus mempertahankan kepentingan awam".

Ditanya mengapa penamatan khidmat mereka dilakukan semasa Tahun Baru Cina, Lim berkata kedua-duanya telah dimaklumkan mengenai keputusan itu pada bulan Januari, dan ia juga telah dibangkit dan dibincangkan dalam mesyuarat exco kerajaan negeri.

"Ia merupakan satu perkara pentadbiran," kata setiausaha agung DAP itu berseloroh.

Ditanya jika ini akan menjejaskan hubungan DAP-PKR di Pulau Pinang, Lim berkata beliau tidak ada sebarang masalah dengan pemimpin PKR lain seperti Rashid, Timbalan Speaker DUN dan ADUN Sungai Bakap Maktar Shapee, atau Lee, yang masih memegang jawatan pengarah di salah satu GLC negeri.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS