Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Muhyiddin dakwa tidak dibenar laksana tugas timbalan presiden Umno

Selepas tidak dibenarkan berucap semasa perhimpunan agung Umno akhir tahun lalu, kini Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa beliau tidak dibenarkan menjalankan tanggungjawabnya sebagai timbalan presiden parti itu.

"Sampai ke hari ini pun dia (Najib) tak benarkan saya jalankan tugas.

"Sudahlah dipecat daripada timbalan perdana menteri," katanya.

Muhyiddin berkata demikian ketika berucap dihadapan kira-kira 100 hadirin dalam majlis penyerahan sijil program tuisyen percuma Taman Duyung Intan di Port Dickson, petang ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata beliau menerima tindakan Najib selaku perdana menteri yang mempunyai prerogatif untuk menggugurkannya daripada jawatan timbalan perdana menteri.

Namun, Muhyiddin berkata beliau masih mempunyai kuasa untuk menjalankan tugas sebagai penasihat kepada presiden parti itu.

"Baiklah, itu prerogatif dia. Walaupun prerogatif untuk tidak melantik sebagai menteri itu tidaklah mutlak, terutamanya saya sebagai timbalan presiden Umno," kata Muhyiddin.

Menurutnya, berdasarkan perlembagaan parti, selaku timbalan presiden beliau bertanggungjawab memberikan pandangan serta nasihat berhubung segala tindakan yang mahu diambilnya.

"Presiden parti tanya masa perhimpunan, tahu tak tugas-tugas timbalan presiden? Eh, saya pengerusi jawatankuasa perlembagaan. Tak payahlah tanya saya. Memang pun saya tahu.

"Dua sahaja (tugas timbalan presiden). Pertama, membantu presiden. Kedua, mempengerusikan mesyuarat sewaktu ketiadaan presiden," katanya.

Tegas Muhyiddin, meskipun tugas sebagai pembantu presiden didengar agak mudah, namun ia meliputi banyak maksud.

"Menjalankan urusan-urusan parti, mengepalai jentera pilihan raya, pergi lihat daftar pemilih, pergi menangani masalah-masalah bahagian yang ada.

"Itu tanggungjawab saya yang saya jalankan sejak saya jadi timbalan presiden Umno, sejak enam tahun lalu, tiada masalah," katanya.

Lihat Komen
ADS