Tidak kesemua peneroka yang memperolehi bonus antara RM1,000 dan RM1,500 dari Felda sepertimana yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mereka termasuklah kira-kira 90 peneroka Mempaga 2 di Bentong, yang mendakwa sehingga hari ini, mereka belum menerima bayaran bonus tersebut.

Ketika diminta mengulas perkara tersebut, seorang jurucakap Felda di tanah rancangan tersebut mengakui perkara itu tetapi menegaskan ianya kerana mereka tidak menyertai Skim Tanam Semula Felda.

"Kita mendapati peneroka tersebut menjual hasil tanaman mereka sama ada kelapa sawit atau getah kepada pihak lain secara individu tanpa kebenaran Felda. Ini bermakna Felda tidak mendapat sebarang hasil daripada mereka," kata jurucakap Felda ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, syarat perjanjian ini telah diberitahu kepada semua peneroka bagi menerima bonus tersebut dalam perjumpaan pada bulan Disember lalu.

"Macam mana mereka mahu bonus jika tidak menyertai Skim Tanam Semula anjuran Felda.

Saya menyifatkan peneroka tersebut sengaja membuat cerita dengan andaian mereka mahu merosakkan imej Felda di kalangan peneroka dan masyarakat umum," tambahnya.

Beliau berkata, mereka tidak mahu membayar hutang dengan Felda seperti hutang baja serta racun, hutang mereka di kedai G-Mart, serta membayar balik pinjaman bulanan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas rungutan 90 peneroka Mempaga 2 yang mendakwa belum mendapat bonus daripada Felda seperti yang diumumkan oleh Najib November lalu.

Kenali punca sebenar

Mereka mendakwa, pihak pengurusan Ladang Mempaga 2 sengaja mencicirkan nama mereka daripada mendapat bonus tersebut.

Najib mengumumkan kerajaan memperuntukkan RM141 juta untuk membayar bonus antara RM1,000 dan RM1,500 seorang kepada kira-kira 110,000 keluarga peneroka sebagai menghargai sumbangan mereka kepada Felda.

"Bayaran RM1,500 diberi kepada setiap peneroka yang berjaya mengeluarkan hasil lebih 10 tan metrik setahun bagi setiap satu hektar, manakala RM1,000 untuk peneroka dengan hasil kurang daripada jumlah tersebut.

"Daripada jumlah itu, Felda membayar RM500 dalam bentuk tunai dan selebihnya dimasukkan sebagai caruman pelaburan dalam Koperasi Pemodalan Felda (KPF)," katanya lagi.

Sementara itu, seorang pegawai kanan Ibu Pejabat Felda di Kuala Lumpur meminta peneroka Felda yang tidak mendapat bayaran bonus supaya amembuat aduan kepada pengurusan tanah rancangan masing-masing untuk mengenalpasti punca sebenar mereka tidak mendapat bayaran tersebut.

Beliau yang tidak mahu namanya disebut berkata, pembayaran bonus buat kali pertama itu ialah untuk menggalakkan peneroka bekerja lebih kuat dan dapat mengeluarkan hasil yang lebih banyak.

Bagaimanapun, tambahnya, peneroka yang terlibat dengan jenayah dan penagihan dadah secara automatik tidak akan mendapat bonus tersebut.

Katanya, pembayaran bonus ini dibuat secara adil dan tidak melibatkan sebarang komitmen politik daripada kalangan peneroka Felda.