Malaysia, yang menjadi pengerusi pertubuhan terbesar negara-negara Islam, mengingatkan Amerika Syarikat bahawa negara itu akan sendirian jika ia bertindak menyerang Iran.

Masyarakat dunia, termasuk sekutu Amerika Syarikat sendiri, menentang sebarang tindakan kuasa besar dunia itu terhadap Iran, kata Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sekembalinya dari Paris lewat semalam.

"Eropah tidak bersetuju, sekutu terapat Amerika , Britain, tidak setuju, dan saya yakin tidak seorangpun yang akan setuju," kata Abdullah yang menjadi pengerusi Persidangan Pertubuhan Islam (OIC) yang dianggotai 57 negara Islam.

Dunia Islam, katanya, sudah pastinya tidak bersetuju dengan tindakan menyerang Iran, sambil menegaskan perlunya penyelesaian dibuat melalui rundingan, dan bukannya tindakan ketenteraan.

Minggu lalu, Presiden Amerika George W Bush - yang menuduh Iran, Iraq ketika dipimpin oleh Saddam Hussein dan Korea Utara sebagai 'paksi kejahatan' berkata beliau tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan ketenteraan jika Teheran masih gagal menghentikan rancangan nuklearnya.

November lalu, Iran yang berulangkali menafikan hasratnya untuk memilik senjata nuklear, mengumumkan penggantungan program nuklearnya selepas mengadakan perbincangan dengan Britain, Perancis dan Jerman.

Pada pertengahan bulan Disember, tiga negara berkenaan sekali lagi mengadakan perbincangan dengan Teheran bagi memuktamadkan satu perjanjian jangka panjang di mana Iran membatalkan niatnya untuk menghasilkan senjata nuklear.

- AFP