Umno bahagian Pulai hari ini membuat laporan polis terhadap seorang wanita yang didakwa menghina Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melalui statusnya dalam Facebook.

Naib Ketua Puteri Umno bahagian Pulai Noraini Mohd Ali berkata laporan itu dibuat di Balai Polis Skudai kira-kira 3.15 petang tadi.

Beliau berkata laporan itu dibuat sebagai peringatan kepada mana-mana pihak agar tidak menyalahgunakan media massa untuk menfitnah dan menghina kepimpinan atasan.

Semalam, pemilik akaun Facebook bernama Doris Jones telah memuat naik status seolah-olah menyamakan Ahmad Zahid sebagai seekor anjing.

Tindakan wanita itu kemudian mendapat kritikan hebat daripada pelbagai pihak.

Ketua Polis Daerah Johor Baharu Utara ACP Mohd Taib Ahmad mengesahkan ada menerima laporan polis dari Umno bahagian Pulai.

- Bernama