Semua ketua unit penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan dilengkapkan dengan senjatapi mulai Mac depan bagi mempertahankan diri sewaktu bertugas.

Timbalan Ketua Pengarah JPJ, Abdul Rahim Saleh berkata mereka akan dibekalkan senjatapi secara berperingkat-peringkat.

Bagi peringkat pertama, 150 pistol jenis Baretta akan dibekalkan, katanya kepada pemberita selepas melancarkan operasi bersepadu JPJ dengan pelbagai agensi peringkat negeri Kelantan di Stesen Penguatkuasa Labok, di Machang hari ini.

Menurut Bernama , Abdul Rahim berkata, mereka akan dilatih oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), termasuk menjalani latihan di Langkawi yang membabitkan cara-cara mengguna dan menyimpannya di tempat yang selamat.

Sementara itu, beliau berkata, (JPJ) akan mengenakan denda maksimum terhadap setiap kesalahan yang dilakukan pesalah trafik dan tidak akan melayan sebarang rayuan lagi.

Naikkan jumlah denda

Katanya, keputusan itu dibuat sejak awal tahun ini bagi mendidik pengguna jalanraya supaya

mematuhi peraturan yang ditetapkan.

"Ia merupakan satu bentuk pengajaran kerana sikap tolak ansur sebelum ini kurang memberi kesan," katanya.

Dalam operasi tersebut, yang bermula semalam sehingga pagi ini, 6,472 kenderaan telah diperiksa, dan RM8,350 dikutip melalui saman yang dikeluarkan terhadap 659 pemilik kenderaan atas pelbagai kesalahan.

Menurut Abdul Rahim lagi, JPJ juga sedang mengkaji kemungkinan menaikkan denda sebanyak RM50 terhadap setiap kesalahan yang dilakukan, termasuk kesalahan seperti lesen memandu tamat tempoh dan tidak membaharui cukai jalan.

"Ia bertujuan supaya pengguna lebih berhati-hati di jalan raya bagi mengelak kecelakaan kerana denda paling tinggi sebanyak RM300 yang dikenakan selama ini tidak mengerunkan mereka," katanya.