Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata cadangan untuk menambah golongan muda dalam barisan jawatankuasa pusat parti itu terletak di tangan ahli biasa parti.

"Terpulang kepada ahli parti di peringkat akar umbi untuk memilih golongan mana yang mereka mahu untuk mewakili mereka," katanya ketika diminta mengulas saranan Ketua Dewan Pemuda PAS, Salahuddin Ayub berhubung perkara itu di muktamar parti itu sebelum ini.

Salahuddin mahu sekurang-kurangnya empat wakil Pemuda dilantik dalam jawatankuasa pusat parti itu bagi mewakili suara golongan muda.

"Cadangan itu baik tetapi bagi saya tempat itu sendiri dipilih oleh orang bawah. Kalau orang di bawah pilih orang muda saya terpaksa setuju bagi membolehkan Islam berkembang dalam bentuk yang lebih praktikal," katanya kepada pemberita selepas merasmikan cawangan Ar-Rahnu di Jelawat, di Bachok.

Katanya, beliau tidak mempunyai halangan untuk melantik golongan muda untuk memegang sebarang jawatan dalam parti asalkan mereka mempunyai kelayakan dan kefahaman dalam Islam serta tidak mudah terpengaruh dengan keduniaan.

Sistem gadaian

Dalam perkembangan lain, Nik Aziz berkata kerajaan negeri tidak akan menghapuskan sistem gadaian konvensional walaupun telah membuka banyak cawangan sistem gadaian Islam Ar-Rahnu.

Katanya, walaupun masih ramai orang Islam menggunakan khidmat sistem gadaian konvensional, kerajaan negeri tidak akan menghapuskan apa yang telah diamalkan sejak sekian lama itu.

"Saya tak suka tutup (sistem gadaian konvensional) kerana saya suka persaingan. Apa yang kita buat ialah kita tonjolkan kebaikan (sistem gadaian Islam), tak ada riba dan tak ada dosa," katanya.

Beliau berkata dua buah lagi cawangan Ar-Rahnu, yang dimiliki Permodalan Kelantan Bhd dan Koperasi Permodalan Kelantan Bhd, akan dibuka di Kuala Krai dan di Pasir Pekan, Tumpat, tahun ini.

Ar-Rahnu di Jelawat ialah cawangan keenam selepas Kota Baharu, Pasir Mas, Tanah Merah, Rantau Panjang dan Machang.