Suhakam akan menyiasat dakwaan bahawa sekumpulan pengunjung sebuah kelab malam di Kuala Lumpur diaib dan dilemparkan kata-kata lucah oleh pegawai peguatkuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

Pengerusinya, Tan Sri Abu Talib Othman berkata suruhanjaya itu akan menyiasat dakwaan tersebut walaupun pihaknya menerima sebarang laporan mengenainya.

"Saya membaca mengenainya tetapi kami di Suhakam belum menerima sebarang laporan. Sama ada penahanan itu betul atau salah, ianya terpulang kepada pihak berkuasa," katanya tetapi bersetuju perlunya tindakan diambil jika berlaku penyalahgunaan kuasa dalam kes tersebut.

"Jika berlaku penyalahgunaan kuasa dan tiada tindakan diambil terhadap mereka yang melakukannya, maka kejadian seperti itu akan berterusan," katanya dalam sidang akhbar di ibupejabat Suhakam di Kuala Lumpur hari ini.

'Dilayan seperti binatang'

Dalam kejadian Khamis lalu, pegawai Jawi telah didakwa melakukan tindakan yang menjatuhkan maruah wanita seperti mengarahkan mereka berbaris sambil melemparkan kata-kata lucah terhadap mereka.

Mereka yang ditahan dalam kejadian tersebut juga mengadu dilayan seperti binatang ketika dimasukkan ke dalam trak selepas diarah bercangkung di dalam kelab tersebut. Ketika itu,mereka tidak pula diberitahu apakah kesalahan yang telah mereka lakukan.

Mereka juga tidak dibenarkan pergi ke bilik air ketika di ibupejabat Jawi, sehingga seorang daripada mereka terkencing dalam seluarnya. Mereka hanya dibebaskan enam hingga 10 jam kemudiannya.

Di samping itu, dipercayai terdapat hanya satu sahaja alat menguji pernafasan 'breathalyser' untuk lelaki, bagi menguji tahap alkohol, yang haram diminum oleh orang Islam, manakala kesalahan bagi yang wanita pula ditentukan berdasarkan pakaian yang mereka pakai.

"Sepanjang masa di sana, mereka (pegawai Jawi) asyik merenung ke arah kami," kata seorang selebriti yang turut ditahan, dilaporkan berkata demikian.

Menurut juga, dia merasa diaibkan apabila pegawai penguatkuasa itu membuat komen mengenai bahagian-bahagian sulit badannya. Ramai wanita yang paling ramai ditahan juga dilaporkan berkata mereka amat malu kerana dicaci.

Sesetengah daripada mereka yang ditahan itu telah membuat laporan kepada pihak kerajaan dan pejabat peguam negara.

Mereka telah didakwa dengan tuduhan 'berperangai sumbang' mengikut Enakmen Syariah Wilayah Persekutuan dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum denda sehingga RM1,000. Sementara itu, sesetengahnya diarah menghadiri sesi kaunseling di Jawi.