Kematian penolong jurutera komputer Mohamad Nazri Ismail bukan kes samseng jalanraya, sebaliknya kes pergaduhan yang berakhir dengan pembunuhan, kata Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mustafa Abdullah.

Menurut Bernama, beliau berkata pergaduhan itu mungkin berpunca daripada kemalangan jalan raya, namun ia tidak boleh dianggap kes samseng jalan raya.

"Saya tidak nampak kes itu sebagai kes pembuli jalan raya," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas kes kematian Mohamad Nazri.

Sebelum itu, beliah menghadiri perhimpunan bulanan pasukannya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.

"Kalau satu kemalangan itu berlaku secara spontan, seterusnya bergaduh dan berlaku kematian seperti yang menimpa Allahyarham, kita tidak boleh labelkan kemalangan itu dicetuskan oleh samseng jalan raya," katanya.

Samseng jalanraya, kata Mustafa, selalunya memaksa mangsa memberhentikan kenderaan dan seterusnya bertindak memukul atau merampas sesuatu daripada mangsa.

Kemalangan biasa

Menurutnya lagi, polis tidak menerima banyak laporan daripada orang ramai mengenai kes membabitkan samseng jalan raya ianya amat jarang berlaku.

"Kebanyakan kes yang dilaporkan berpunca daripada kemalangan biasa, cuma bila kejadian seperti ini berlaku, kita terlalu memperbesar-besarkan isu samseng jalan raya, maka orang ramai mula menganggapnya isu samseng jalan raya padahal tidak," katanya.

Dalam kejadian Selasa lalu, Mohamad Nazri, 28, ditemui terbaring kira-kira jam 8.30 pagi, dengan kecederaan cedera di kepala akibat dipukul dengan benda keras, di Jalan Kewajipan, berhadapan persimpangan Sekyen 14/6M di Subang Jaya.

Beliau meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur kelmarin, 17 jam selepas dimasukkan ke hospital.

Polis Selangor mengklasifikasikannya sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan sedang memburu mereka yang bertanggungjawab.