Pemilik baru Channel 9 The Star atau Astro?
Siapakah pemilik baru stesen televisyen Channel 9 yang akan dihentikan operasinya mulai 1 Februari ini?
Siapakah pemilik baru stesen televisyen Channel 9 yang akan dihentikan operasinya mulai 1 Februari ini?
Menurut Pegawai Eksekutifnya, Abdul Aziz Hamdan, sebuah syarikat ternama yang disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) telah membeli Channel 9 dan stesen radio THR.fm baru-baru ini.
Dan menurut sumber-sumber yang layak percayai syarikat yang dimaksudkan oleh Abdul Aziz itu ialah sama ada akhbar The Star ataupun Astro?
Ketika ditanya mengenainya, beliau enggan menyatakannya nama syarikat yang bakal mengambilalih operasi Channel 9 dan THR.fm dari Syarikat Anza Sdn Bhd.
"Ia mungkin Astro, ia mungkin juga The Star . Saya mengesahkan sebuah daripada syarikat media utama ini telah membeli Channel 9. Urusan pembeliannya telah selesai dibuat baru-baru ini," kata beliau tetapi enggan memberitahu jumlah yang dibayar oleh syarikat tersebut.
Namun, pemilik baru tersebut tidak diwajibkan untuk menyerap bekas pekerja apabila beroperasi semula, katanya.
Berikutan itu beliau enggan mengulas kedudukan kakitangan Channel 9 selepas stesen itu dibeli oleh syarikat baru.
Surat tamat perkhidmatan
Beliau berkata, pemilik baru stesen Channel 9 akan membuka semula operasinya selepas setahun pengambialihan tetapi tidak ada tarikh tepat diberi.
"Barangkali pada bulan Februari 2006...mungkin Jun dan mungkin juga akhir tahun depan. Semuanya terpulang kepada pemilik baru," katanya lagi.
Abdul Aziz berkata, semua kakitangan Channel 9 berjumlah 94 orang telah diberi surat pemberhentian kerja dan mereka dibayar pampasan mengikut undang-undang.
Menurutnya, Channel 9 yang mula beroperasi pada September 2003, menghadapi masalah kekurangan kewangan untuk meneruskan operasi meskipun mempunyai penontonnya sendiri.
"Pendapatan yang kita perolehi tidak dapat menampung kos operasi," katanya tetapi tidak mahu menyatakan jumlah pelaburan yang dibuat ke atas stesen televisyen tersebut.
Channel 9 pada mulanya beroperasi untuk menjadi televisyen alternatif kepada penonton tetapi tidak bersaing dengan stesen televisyen sedia ada.
Channel 9 memulakan operasinya secara rasmi pada 9 September tahun lalu. Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Abdul Rashid Manaff memiliki 51 pegangan dalam Channel 9 melalui Syarikat Anza.
Di luar jangkaan
Menurut Abdul Aziz, punca utama kegagalan Channel 9 ialah ketidakmampuan untuk mengadakan siaran ke seluruh negara seperti syarikat penyiar lain.
"Liputan Channel 9 tidak menyeluruh kerana siaran kami tidak boleh diikuti oleh penonton Pantai Timur serta Sabah dan Sarawak yang merupakan 30 peratus jumlah penonton televisyen," katanya.
Bagaimanapun, kata beliau, apa yang berlaku ini adalah di luar jangkaan syarikat dan tidak menduga langsung ia terpaksa ditutup dalam masa yang begini cepat.
Sementara itu, sumber-sumber dalam syarikat memberitahu, nasib pekerja kini tidak menentu kerana pemilik baru berkemungkinan besar tidak menyerapkan kakitangan sedia ada ke dalam syarikat mereka.
Sebelum ini beberapa stesen televisyen menyatakan kesanggupan untuk mengambil kakitangan Channel 9 tetapi sejak berita stesen itu akan ditutup mereka berubah fikiran.
Sumber itu menambah, ketua bahagian akan terus bekerja sehingga akhir bulan April manakala perkhidmatan kakitangan lain berakhir pada akhir bulan Mac ini.
Katanya, tidak ada kesatuan sekerja di Channel 9 dan selepas ini masing-masing akan membawa haluan sendiri.

