Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengesahkan beliau belum menerima surat pengisytiharan keluar parti daripada Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Saya tak tahu, saya belum dapat surat lagi," katanya ketika diminta mengulas tindakan bekas perdana menteri keempat itu yang mengisytiharkan keluar parti untuk kali kedua, semalam.

Tengku Adnan ditemui selepas menghadiri sesi perjumpaan beliau dengan ahli parlimen Wilayah Persekutuan di Putrajaya hari ini.

Selepas 20 tahun memimpin Umno, Dr Mahathir sekali lagi mengisytiharkan dia meninggalkan parti berkenaan sebagai bantahan terhadap pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang didakwanya dibelenggu pelbagai kontroversi.

Langkah itu dibuat selepas beliau mengkritik Najib secara lantang sejak beberapa tahun lalu.

Sementara itu, mengulas tindakan Dr Mahathir yang dilaporkan mungkin 'bergabung' dengan pakatan pembangkang Tengku Adnan berkata beliau tidak tahu mengenainya.

"Saya tak tahu," kata Tengku Adnan ringkas.

Malah, ketika diminta mengulas sejauh mana Umno terkesan dengan tindakan veteran parti itu Tengku Adnan berkata ia sedikit pun tidak terjejas.

"Tiap-tiap bulan kita ada pertambahan anggota dalam Umno, kita tak terjejas," kata anggota Parlimen Putrajaya berkenaan.