Polis Perak tetap meneruskan siasatan berhubung tindakan seorang wakil rakyat melepaskan tembakan ke udara semasa melawat perkampungan Orang Asli di Hulu Perak bulan lalu walaupun laporan mengenainya telah ditarik balik.

Ketua Polis Negeri Datuk Seri Abdul Rahim Hanafi berkata siasatan dibuat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960 iaitu tidak boleh melepaskan tembakan kecuali di lapang sasar yang dibenarkan.

Beliau berkata kertas sisatan mengenai insiden itu telah lengkap dan ia akan diserah kepada Pengarah Perundangan Negeri dalam masa terdekat untuk tindakan lanjut.

"Senjata yang diguna memang milik wakil rakyat berkenaan dan ia telah dihantar ke Jabatan Forensik untuk analisis kimia tetapi laporan mengenainya belum diterima," katanya kepada pemberita selepas majlis pemakaian pangkat pegawai pangkat rendah Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Ipoh hari ini.

Pada majlis itu, seramai 11 orang Sarjan Mejar dinaikkan pangkat ke Sub Inspektor, manakala 39 lagi Sarjan dinaikkan pangkat menjadi Sarjan Mejar.

Selain itu, Abdul Rahim yang baru menerajui polis kontinjen Perak pada 12 Februari lalu berkata kadar jenayah di negeri itu didapati meningkat, namun berada dalam keadaan terkawal.

"Saya akan buat kajian daerah dan tengok pencegahan jenayah yang sesuai untuk setiap daerah untuk pastikan jenayah di Perak terus terkawal," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Abdul Rahim berkata kenaikan pangkat bukan satu kemegahan, sebaliknya ia merupakan amanah dan tanggungjawab yang mesti dilaksanakan sebaiknya demi masyarakat.

"Pikullah amanah dan tanggungjawab ini dengan sepenuh hati dan berkhidmatlah dengan profesional serta integriti yang tinggi pada setiap masa.

"Jadilah seorang penyelia yang berintegriti, jujur, amanah, telus, adil dan saksama, berkecuali dan berani menegur anggota di bawah seliaan anda yang melakukan kesalahan disiplin," katanya.

-Bernama