Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata setakat ini beliau masih lagi berada dalam Umno walaupun jawatannya sebagai timbalan presiden sudah digantung dan disinngkirkan sebagai timbalan perdana menteri.

Bagaimanapun, bekas Menteri Besar Johor itu berkata, beliau akan menjelaskan kedudukannya pada sidang media dijangka Khamis ini.

"Saya akan adakan sidang media dua hari lagi (untuk) saya jelaskan semua perkara-perkara yang berkaitan dengan kedudukan saya dalam Umno dan hal-hal yang lain yang perlu saya jelaskan.

"Sementara itu, saya masih berada di dalam Umno dan saya ucap terima kasih (kepada) sahabat-sahabat, terima kasih (kerana) datang memberi sokongan kepada saya," katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) petang tadi.

Muhyiddin berkata demikian ketika ditanya mengenai pelawaan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengajaknya keluar Umno.

Jumaat lalu Majlis Tertinggi (MT) Umno sebulat suara membuat keputusan menggantung jawatan Muhyiddin sebagai timbalan presiden parti Melayu itu berkua kuasa serta-merta.

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan menjalankan tugas-tugas Muhyiddin.

Muhyiddin yang tiba kira-kira jam 7 malam menaiki penerbangan dari Ho Chi Minh, Vietnam disambut dengan laungan "Hidup Tan Sri" sebanyak lima kali oleh penyokongnya yang dianggarkan kira-kira 100 orang.

Turut menyambut Muhyiddin ialah ahli MCA Pagoh.

Mereka berkumpul di balai ketibaan seawal jam 5 petang sambil membawa kain rentang bertulis "Terbang tapi terbilang", Agi hidup agi gelaban" dan "Kami bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin".

Muhyiddin yang berpakaian serba hitam dilihat melambai-lambaikan tangannya ke arah penyokong yang sabar menanti beliau.

Semalam Dr Mahathir mengumumkan beliau keluar daripada Umno - untuk kali kedua.

Kali pertama bekas perdana menteri itu meninggalkan Umno adalah pada pada 2008.