Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, tindakan bekas naib presiden PAS Datuk Husam Musa yang terus mempertikaikan pentadbiran kerajaan negeri seolah-olah mempertikaikan keputusan yang dibuat oleh bekas menteri besar Kelantan.

Beliau berkata, semua isu yang dipersoalkan Husam telah diputuskan semasa pemerintahan allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat serta semasa Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Salor itu menjadi exco kerajaan negeri, lapor akhbar Sinar Harian.

"Jika betul Husam ikhlas dan sayangkan Kelantan serta parti, kenapa tak tanya ketika mesyuarat malah tak hadir mesyuarat. Apa tujuannya mempertikaikan perkara tersebut sedangkan beliau tahu semuanya diputuskan dalam mesyuarat dan berlaku pada pemerintahan Tok Guru (Nik Aziz).

"Dia seolah-olah mempertikaikan pemerintahan Tok Guru dengan berbuat demikian. Ini tidak kena, membangkitkan perkara yang diputuskan ketika kita menjadi pemimpin seolah-olah kita tidak menghormati keputusan yang dibuat secara berjemaah.

"Sekalipun kita tak setuju, kita kena hormatinya apabila dipersetujui ramai," katanya.

Selain itu, Mohd Amar berkata, dasar pemerintahan PAS tidak berubah sebaliknya hanya berbeza gaya kepimpinan.

Menurutnya, perubahan gaya kepimpinan adalah perkara biasa memandangkan parti perlu bergerak seiring dengan perkembangan semasa agar terus diterima rakyat.

Malah, naib presiden PAS itu juga berkata, dakwaan Husam berhubung isu 'makan balak' juga tidak benar serta tiada kelulusan pembalakan yang baru diluluskan di bawah Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaakob.

Sehubungan itu, Mohd Amar mempersoalkan tindakan Husam yang membangkitkan isu pembalakan ketika pemerintahan Ahmad Yaakob dalam media sosial dan bukan ketika dalam mesyuarat.

"Apa tujuan membangkitkan perkara tersebut? Kalau beliau kata kita tak pandai tadbir, kenapa hasil balak kita meningkat sekalipun tiada kelulusan baru yang dibuat malah mendapat pujian daripada Jabatan Perhutanan kerana berjaya menunjukkan rekod pengurusan yang baik.

"Kita ada data dan maklumat. Bukan kecek (cakap) saja," katanya lagi.