Ketiadaan peruntukan-peruntukan khusus dalam undang-undang pilihanraya, menyebabkan wujudnya 'gelanggang yang tidak saksama' untuk parti-parti politik yang bertanding dalam pilihanraya umum, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman.

Menurutnya, terdapat beberapa kelemahan yang sesuai ditangani negara secara beransur-ansur, termasuk ketiadaan peruntukan khusus untuk menghalang penyalahgunaan sumber milik kerajaan.

Menurut Bernama , selain itu, beliau berkata, tidak ada undang-undang yang membolehkan SPR mengawal media atau liputannya dalam musim pilihanraya.

"Begitu juga tiada undang-undang untuk mengawal sumber dan kewangan parti yang boleh digunakan secara seimbang dalam pilihanraya, dan tidak ada undang-undang khusus untuk mengawal masalah membeli undi," kata beliau.

Menurutnya kelemahan itu sedikit sebanyak menjejaskan keadilan kepada semua yang mengambil bahagian dalam pilihanraya kerana ia menggambarkan ketiadaan gelanggang yang saksama.

Bercakap dalam sesi-soal jawab mengenai isu proses demokrasi dalam pilihanraya di Malaysia di kampus induk Universiti Malaysia Sabah di Kota Kinabalu hari ini.

2.4 juta belum mendaftar

Sementara itu, beliau berkata, SPR akan mengemukakan cadangan kepada kerajaan bagi menggubal undang-undang supaya warganegara yang mencapai umur 21 tahun secara automatik didaftarkan sebagai pemilih.

Abdul Rashid berkata langkah itu penting kerana jumlah rakyat yang layak mendaftar adalah tinggi tetapi mereka tidak berbuat demikian.

Menurut Bernama, beliau berkata setakat ini hampir 2.4 juta rakyat, termasuk 250,000 di Sabah yang sudah mencapai umur 21 tahun, belum mendaftar sebagai pemilih dengan SPR.

"Kita (SPR) tidak tahu apa sebab mereka tidak mendaftar, jadi kita sedang menyediakan kertas cadangan untuk dikemukakan kepada pihak eksekutif (kerajaan) bagi menggubal undang-undang yang berkaitan pendaftaran automatik," katanya.

Abdul Rashid berkata, setakat ini undang-undang sedia ada tidak mewajibkan setiap pemilih berdaftar untu mengundi tetapi "kita mintalah mereka supaya melaksanakan tanggungjawab sebagai pemilih".

Tempoh bertenang

Ditanya sama ada tempoh bertenang selama tiga hari selepas hari penamaan calon, mengundang amalan rasuah di mana ramai calon bebas atau pembangkang di Sabah menarik diri dalam pilihanraya umum lepas, beliau berkata, ramai menarik diri bukan kerana disogok tetapi lebih cenderung kepada kesedaran calon sendiri yang tidak yakin menang.

Sebelum itu, dalam syarahan umumnya, Abdul Rashid berkata Sabah sebelumini terkenal dengan permainan politik yang berlebihan tetapi keadaan itu sudah berubah dan kini iklim politik di negeri ini telah kembali tenang dan stabil.

"Apa yang kita lihat sekarang di Sabah ialah pembangunan pesat yang pasti akan membawa kebaikan kepada rakyat," katanya.

Mengenai pilihanraya umum lepas, beliau berkata, tidak berlaku sebarang penipuan dalam proses perjalanan pilihanraya itu dan ia adalah telus dan adil.

Bagaimanapun, katanya beliau mengakui terdapat kelemahan dalam pengurusan pilihanraya di sana-sini yang tidak menjejaskan prinsip bebas, adil dan telus dalam sistem pilihanraya demokratik di negara ini.