Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar hari ini mempertahankan haknya untuk bercakap selepas ditegurkan oleh rakan sejawatannya dari Thailand berhubung penangkapan seorang militan Islam Thai itu.

Bagaimanapun, beliau percaya 'perang mulut' antara mereka itu tidak akan menjejaskan hubungan kedua negara.

"Malaysia adalah sebuah negara yang berdaulat dan selaku menteri luar, saya mempunyai hak untuk menegaskan pendirian kita," katanya dalam satu sidang akhbar.

Bagaimanapun, beliau yakin perkara tersebut tidak akan sama sekali menjejaskan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Thailand.

"Hubungan saya dengan Menteri Luar Thai adalah amat baik, begitu juga hubungan Perdana Menteri Malaysia dengan Perdana Menteri Thailand.

"Saya tidak fikir salahfaham berhubung apa yang telah kami perkatakan itu, akan sama sekali menjejaskan hubungan kukuh antara kedua negara," tambahnya.

"Perang mulut' itu bermula minggu lalu apabila Perdana Menteri Thailand Thaksin Shinawatra memberitahu pemberita yang Malaysia telah menangkap seorang pejuang puak pemisah Islam yang didakwanya menjadi perancang kepada kejadian keganasan di Selatan Thai.

Di samping itu, beliau berkata, pihaknya sedang mendapatkan perintah ekstradisi untuk membawa lelaki tersebut pulang ke Bangkok.

Malaysia pula tidak mengumumkan tentang penangkapan itu. Ketika bercakap dalam satu sidang akhbar, Syed Hamid menegur Thaksin, dengan berkata, Perdana Menteri Thai itu sepatutnya menggunakan saluran diplomatik jika mahu mendapatkan ekstradisi itu, daripada melakukannya melalui media.

"Ini bukanlah satu caranya untuk bekerjasama antara satu sama lain" kata Syed Hamid sambil menambah "apa juga yang perlu dilakukan, memang ada saluran yang betul antara Malaysia dan Thailand'".

Teguran 'tidak sesuai'

Berikutan, Menteri Luar Thai mengeluarkan kenyataan bahawa 'tidak sesuai' bagi Syed Hamid menegur pemimpin ngara lain "dengan cara yang tidak membina berdasarkan kepada hubungan rapat kedua negara".

Menurut Syed Hamid lagi, "perang mulut" itu tidak akan menjejaskan kerjasama kedua negara menentang golongan militan.

Lelaki yang ditangkap itu dikenalpasti oleh pihak berkuasa Malaysia sebagai Abdul Rahman Ahmad. Dia juga dikenali sebagai Deraman Koteh, manakala Thaksin menamakannya sebagai Doramae Kuteh, dan juga dikenali sebagai Chae Kumae Kuteh.

Khamis lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, lelaki yang ditangkap itu adalah rakyat Malaysia dan dipercayai tidak mempunyai dua kewarganegaraan.

"Kita tidak mempunyai (perjanjian) ektradisi dengan Thailand tetapi jika pihak berkuasa Thai mahu mendapat bantuan kita dalam apa cara sekalipun, (jika) mereka mahu mengetahui mengenai aktiviti lelaki ini, kita boleh bekerjasama," katanya sambil menambah, "tetapi kita perlu menunggu sehingga mendapat permohonan rasmi dari Thailand".

- AFP