Universiti Tunku Abdul Rahman (Utar) akan memberi tambahan masa kepada 11 pelajar kursus kewartawanan untuk menjelaskan bayaran yuran tuisyen dan sekaligus melegakan mereka yang sebelum bimbang akan disingkirkan jika gagal berbuat demikian dalam tempoh yang ditetapkan.

Pelajar terbabit semuanya dari kampus Petaling Jaya akan dibenarkan menjelaskan yuran masing-masing apabila mereka menerima wang pinjaman daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Ketika dihubungi hari ini, seorang pegawai di Jabatan Hal-Ehwal Luar Utar berkata penjadualan semula bayaran yuran pelajar terbabit sudah mendapat kelulusan Lembaga Akreditasi Negara (LAN).

"Ia telah selesai...Saya dapat memberi butir-butir lanjut mengenainya," kata pegawai terbabit yang enggan disebut namanya.

Sebelum ini, jabatan kewangan universiti tersebut telah menghantar surat amaran bertarikh 19 Jun lalu kepada pelajar terbabit supaya menjelaskan yuran tersebut atau menghadapi tindakan disingkirkan, selepas mereka diberi amaran lisan.

Mereka kemudiannya telah mengemukakan rayuan, meminta supaya tempoh bayaran yuran tersebut dilanjutkan kerana mereka belum lagi menerima wang pinjaman daripada PTPTN.

Sebelum ini, PTPTN telah menjelaskan bahawa pinjaman pelajar terbabit tidak dapat dikeluarkan kerana perbadanan tersebut belum lagi menerima pengesahan status mereka daripada pihak universiti.

Perbadanan berkenaan menerima dokumen pengesahan tersebut pada 18 Januari lalu, yang disifatkannya sebagai "agak lewat", dan berkata pinjaman mereka akan dikeluarkan secepat mungkin.

Utar ditubuh dan dikendalikan oleh MCA dan mempunyai kampus di Petaling Jaya, Sungai Long dan Kuala Lumpur.