Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mahathir lupa sejarah, dakwa Awang Selamat
Diterbitkan:  Mar 6, 2016 12:00 PM
Dikemaskini: 4:13 AM

Tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad keluar Umno dan bekerjasama dengan pembangkang disifatkan sebagai 'satu kesilapan besar' dalam sejarah politik pemimpin veteran itu.

Menerusi ruangan pojok Awang Selamat dalam Mingguan Malaysia hari ini, akhbar itu mendakwa Dr Mahathir sebagai lupa sejarah politik beliau dengan pimpinan DAP dan PKR yang begitu tebal permusuhannya.

"Meskipun dalam politik segala-galanya berkemungkinan namun realiti untuk padamkan episod hitam bukanlah mudah. Mereka akan terus dihantui rasa curiga dan waspada termakan jerat muslihat politik.

"Apatah lagi Dr Mahathir, Penasihat DAP Lim Kit Siang dan Penasihat PKR (Datuk Seri) Anwar Ibrahim makin dimamah usia. Dimalukan dan gagal besar pada penghujung usia lagi sakit rasanya," tulisan Awang dipetik daripada akhbar edisi mingguan itu.

Malah, Awang juga mendakwa, selama ini Dr Mahathir merupakan pemimpin yang bertanggungjawab menjadikan DAP 'jijik' pada kaca mata orang Melayu.

"Lim tidak kurang dahsyatnya menghina, mentohmah dan mempersoalkan Dr Mahathir sepanjang perseteruan mereka.

"DAP menjadi hidup kerana anti Dr Mahathir yang dilabelkan zalim, menerajui kerajaan rasuah dan sebagainya.

"Malah DAP yang beliau kuasai mahu menangkap dan memenjarakan Dr Mahathir jika berkuasa satu hari nanti," katanya.

Perseteruan Mahathir - Anwar

Dalam ruangan pojok berkenaan, Awang turut mengungkit perseteruan Dr Mahathir dengan bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini sedang dipenjarakan atas tuduhan liwat.

Beliau membangkitkan persoalan adakah bekas presiden Umno yang baru meninggalkan parti itu akan menarik kembali segala kenyataan dan label terhadap bekas ketua umum PKR itu.

Katanya, Dr Mahathir juga terlupa, disebabkan sokongan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, beliau menang dalam percaturan dengan pasukan B diketuai Tengku Razaleigh Hamzah ketika kemuncak krisis pertama yang membawa kepada penubuhan Semangat 46.

Pada masa sama, beliau turut memuji pimpinan PAS terutama Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana 'tidak termasuk dalam perangkap DAP'.

Lihat Komen
ADS