Masih ada harapan untuk PAS-DAP bekerjasama
Bagi PAS, tuntutan DAP supaya ia menggugurkan dasar kerajaan Islam yang diperjuangkannya selama ini, tidak menghalang parti itu daripada terus berusaha untuk mewujudkan gabungan pembangkang yang kuat.
Bagi PAS, tuntutan DAP supaya ia menggugurkan dasar kerajaan Islam yang diperjuangkannya selama ini, tidak menghalang parti itu daripada terus berusaha untuk mewujudkan gabungan pembangkang yang kuat.
Naib Presiden PAS, Datuk Dr Hassan Ali memberitahu
malaysiakini,
partinya tidak akan membenarkan kenyataan keras DAP itu melemahkan usaha untuk memujuknya kembali menyertai Barisan Alternatif (BA).
Walaupun beliau menyifatkan istilah "menggugurkan' itu sebagai keras, tetapi menegaskanya, ia tidak akan dibiarkan menjadi penghalang kerana terdapat perkara-perkara yang lebih besar di mana DAP dan PAS boleh bekerjasma.
Dr Hassan menegaskan demikian sebagai mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng bahawa DAP tidak dapat kembali menyertai semula BA selagi PAS tidak menggugurkan hasratnya untuk menubuhkan sebuah negara Islam jika berkuasa.
Lim juga dilaporkan berkata, rancangan PAS untuk 'berlembut' dalam pendiriannya berhubung negara Islam, masih belum mencukupi untuk meyakinkan DAP untuk kerjasama semula dengan parti itu.
DAP, sebuah parti majoriti kaum Cina, meninggalkan BA pada tahun 2001 kerana tidak sehaluan dengan PAS berhubung isu negara Islam. Selain PAS, BA pada masa ini turut dianggotai Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Dr Hassan enggan mengulas lanjut mengenai tuntutan Lim itu, tetapi menegaskan bahawa penubuhan gabungan pelbagai parti yang berbeza ideologinya memerlukan sikap 'berlembut' oleh semua pihak terbabit.
"Walaupun apa pun, kami akan meneruskan usaha itu dan sehingga ini saya rasa perkembanganya positif," katanya yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor.
Mesyuarat khas
Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda PAS pusat, Salahuddin Ayub mencadangkan supaya satu mesyuarat khas diadakan antara PAS dan DAP bagi membincangkan lebih lanjut isu tersebut.
"Daripada bercakap kepada media, pemimpin perlu berjumpa dan berbincang. Perjumpaan tersebut akan dapat mengelak daripada berlakunya salahtafsir terhadap kenyataan yang dibuat. Jika DAP bersetuju, saya sendiri boleh mengaturnya," kata beliau.
Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim telahpun mengadakan perbincangan ke arah secara berasingan dengan pemimpin utama kedua-dua parti pembangkang tersebut.
Ditanya sama ada adil untuk DAP mengenakan syarat ke atas PAS, Salahuddin berkata DAP bebas untuk berbuat demikian.
Bagaimanapun, katanya, syarat-syarat yang dikenakan itu tidaklah boleh dalam bentuk yang boleh membantutkan perbincangan ke arah itu.
PAS, katanya, sentiasa terbuka untuk berbincang dan beliau percaya para pemimpinnya juga berfikiran terbuka.
Oleh itu, Salahuddin amat berharap agar DAP akan menerima pelawaan untuk menghadiri mesyuarat khas itu secara positif.
Manakala penganalisa politik, Lutfi Othman pula berkata adalah tidak adil bagi DAP mengenakan syarat seumpama itu kerana Islam merupakan asas perjuangan PAS.
"Jangan kena apa-apa syarat yang parti itu (PAS) tidak boleh tunaikan. Malah, saya rasa mereka dari dalam parti itu sendiripun, walaupun tidak bersetuju dengan pelancaran dokuman negara Islam, tidak akan bersetuju dengan gesaan supaya ia menggugurkannya (negara Islam)...," katanya.
Bagaimanapun, beliau menyifatkan kesediaan PAS untuk 'berlembut' berhubung isu negara Islam sebagai satu perkembangan positif bagi parti tersebut.
"Apabila ia mula-mula melancarkannya, ramai yang mengkritiknya dan menganggapnya sebagai satu langkah politik yang salah. Kini PAS sudah menyedari yang ia merupakan pesaing terdekat kepada Umno yang mengetuai gabungan parti memerintah.
"PAS mesti sensitif terhadap persepsi umum. Saya rasa, jika isu itu dikendalikan dengan hati-hati, pembangkang mungkin ada formula yang boleh membantunya dalam pilihanraya umum akandatang," tambahnya.

