Wanita PKR berpendapat negara kini berada dalam keadaan reput dan rosak dan ia hanya boleh diselamatkan dengan mengeluarkan pemimpin yang sedang berkuasa.

Ketua Wanitanya Zuraida Kamaruddin berkata, pemimpin yang ada sekarang perlu disingkirkan supaya kerja-kerja pemulihan dapat dilakukan segera.

Sehubungan itu, Zuraida berkata, Wanita PKR menyokong Deklarasi Rakyat yang diadakan Jumaat lalu yang dilihat sebagai tindakan segera untuk tindak balas bagi menolak kuasa mutlak yang dinikmati oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Beliau juga menyokong penuh langkah deklarasi tersebut bagi mewujudkan keseimbangan pembahagian kuasa dalam politik memandangkan ketika ini hanya seorang individu sahaja yang membuat keputusan dan ia tidak sihat untuk rakyat.

"Idea pemisahan kuasa perlu dipertahankan dengan apa cara sekalipun.

“Ketua-ketua negara, ketua-ketua perkhidmatan awam seperti polis, pendakwa dan hakim-hakim tidak boleh dipengaruhi oleh mana-mana kuasa yang lebih besar selain daripada kuasa yang terletak haknya sepenuh kepada rakyat untuk menjalankan tugas mereka dengan adil tanpa rasa takut dan pilih kasih," katanya dalam kenyataan medianya hari ini.

Jumaat lalu, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengetuai kumpulan lebih 50 orang - termasuk Lim Kit Siang daripada DAP dan Menteri Besar Selangor Datuk Mohamed Azmin Ali daripada PKR - dalam memeterai deklarasi menyokong penyingkiran Najib sebagai perdana menteri.

Penandatangan lain termasuk bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan bekas presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik.

Malah, pemimpin masyarakat sivil Maria Chin Abdullah serta Presiden Persatuan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (Hakam) Datuk S Ambiga turut menandatangani deklarasi tersebut.