PAS menegaskan keengganannya turut serta dalam deklarasi mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berundur bukan kerana bimbang usahanya membawa usul meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 di parlimen ‘terganggu'.

Sebaliknya, Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan berkata, parti Islam itu mempunyai pendirian serta hala tujunya yang tersendiri dan ia tidak terikat dengan pihak lain, lapor Sinar Harian.

“Bukan begitu maksudnya (enggan sertai deklarasi rakyat kerana usul persendirian).

“Memang pada dasar umumnya, kita akan memberi respon, sokongan kepada apa jua tindakan yang membawa kepada kebaikan. Tetapi kita kena kenal pasti dulu, apa tujuannya, objektifnya, matlamatnya.

“Jadi, kita tidak mudah menyertai mana-mana yang dibuat pihak lain,” beliau dipetik berkata akhbar itu.

Sebelum ini, PAS dilapor menolak jemputan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk turut serta dalam majlis menandatangani deklarasi bagi menyingkirkan Najib, bersama pemimpin Pakatan Harapan dan masyarakat sivil.

Malah, presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam dilaporkan mengulangi pendirian partinya menggunakan saluran demokrasi sekiranya mahu menyingkirkan kedudukan Najib.

Hadi berkata, PAS tetap dengan pendirian itu walaupun pemimpin Pakatan Harapan dan bekas perdana menteri itu mendesak Najib berundur melalui Deklarasi Rakyat.

Bagaimanapun, tiga pemimpin PAS turut hadir pada majlis itu Jumaat lalu, iaitu Datuk Mustafa Ali, Datuk Mahfuz Omar dan Datuk Khairudin Aman Razali.

Blok Politik Ketiga

Nasrudin berkata, parti Islam itu mempunyai pendekatan dan gerakan tersendiri melalui “Blok Politik Ketiga”, ke arah mengubah kepimpinan negara melalui saluran demokrasi dan berperlembagaan.

“Blok Politik Ketiga ini maksudnya, kita mempunyai rakan ganding tersendiri tanpa kita melibatkan diri dengan BN dan juga Pakatan Harapan.

“Jadi kita ada parti politik dan NGO tetapi (identiti mereka) masih kita tak boleh umum lagi,” katanya.