Ahmad Maslan yakin 'hashtag positif' akan menang
Walaupun kempen menyokong perdana menteri #respectMyPM (hormat PM-ku) di alam maya mengundang reaksi balas negatif, Datuk Ahmad Maslan berharap lebih banyak hashtag “positif” akan muncul dan diterima.
Pengerusi biro teknologi maklumat Umno itu percaya lama kelamaan perkara itu akan berubah, seperti kontroversi #2kerja yang menimpanya sebelum ini.
Ketika beliau mengemukakan idea kerja sampingan di Internet, beberapa hashtag positif berkaitan perkara itu seperti #rezekihalal, #tambahpendapatan dan #jadiusahawan turut mendapat kritikan hebat pengguna laman sosial.
"Kita akan meneruskan perkara yang positif.
"Kalau daripada 10 dan empat yang terima secara positif, ia satu kejayaan pada saat dan ketika ini. Selepas itu kita buat lagi hashtag lain dan mungkin lepas ini lima dari 10 yang setuju.
"Tambah hashtag positif yang lain dan mungkin kita akan dapat enam daripada 10 setuju. Akhirnya lapan dari 10 setuju.
“(Ini) bererti peperangan persepsi negatif itu sudah dimenangi dengan perkara yang positif," kata Ahmad dalam sidang media di Menara Datuk Onn, PWTC hari ini.
Kempen #respectMyPM dimulakan penyokong Najib selepas Tun Dr Mahathir Mohamad mengorak langkah mengejutkan dengan menghadiri majlis deklarasi anti-Najib bersama pemimpin pembangkang dan NGO.
Bagaimanapun, tidak lama kemudian, kempen balas menolak pentadbiran Najib pula semakin membayangi kempen itu dengan penggunaan hashtag #RejectMyPM (tolak PM-ku) dan #SuspectMyPM (ragui PM-ku) secara meluas.
Kunjungan 'Keyboard Warriors'
Terdahulu, Ahmad menerima kunjungan sepuluh NGO yang bergabung atas nama 'Keyboard Warriors' bagi menjawab dakwaan terhadap kerajaan di media sosial.
Ahmad berkata anggota kumpulan itu akan menyebarkan perkara-perkara "benar, positif dan tepat" tentang kerajaan, terutama berkaitan perdana menteri.
"Sepuluh NGO ini sepakat untuk beri dukungan kepada perdana menteri dan bergabung dengan nama 'Keyboard Warriors' untuk beri jawapan kepada isu-isu semasa.
"Kelihatan aspek ini yang kurang di media sosial. Maka saya hargai mereka yang datang secara sukarela untuk membantu biro IT Umno" katanya.
Bekas ketua penerangan Umno itu juga menegaskan 'Keyboard Warriors' bergerak secara sukarela dan tidak menerima 'satu sen pun bayaran' daripada mana-mana pihak.
Antara NGO yang terlibat adalah Persatuan Jurutera Melayu Profesional, Mawadah Wanita Malaysia (Mawar), Alumni Kelab Umno Luar Negara dan Persatuan Perunding NGO Malaysia.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata kumpulan ini akan berpegang kepada prinsip kebenaran dan bukannya fitnah.
"Nasihat saya kita adalah penyebar positif, bukan fitnah. Itu perkara penting saya, selaku (pengerusi) biro IT. Saya tak kata pembangkang secara terus sebar fitnah, tetapi inilah falsafah biro IT Umno.
"Seperti kata-kata timbalan menteri penerangan Datuk Jailani Johari, 'apa yang salah di alam nyata, salah di alam maya'," katanya yang juga timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri.

