Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Bantuan untuk meringan kehidupan keluarga ibu tunggal masih belum memadai, kata NGO Jaringan Ibu Tunggal (JIT) yang berjuang mewakili kumpulan sasaran itu dan memastikan kebajikan mereka diberi perhatian yang sewajarnya oleh pihak berkuasa dan masyarakat sivil.

Menurut JIT, jumlah asas RM720 pendapatan garis kemiskinin (PGK) yang digunakan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk membantu isi rumah ibu tunggal, tidak mencukupi berikutan kenaikan kos sara hidup.

Dalam sidang media semalam, Koordinator JIT Veronica Anne Retnam berkata, selepas mengambil kira makanan dan keperluan asas lain, JIT mendapati pendapatan garis kemiskinan bagi sebuah keluarga ibu tunggal sepatutnya berjumlah RM1,500 sebulan.

Sehubungan itu, katanya, JIT mahu Kementerian Wanita yang masih bersandarkan kepada PGK yang tidak relevan dan tidak menggambarkan realiti kos kehidupan terkini yang tinggi, supaya menaikkannya kepada RM1,500 sebulan.

Mengikut pengukuran PGK Kementerian Wanita, ia termasuklah keperluan minimun makanan dan bukan makanan untuk memastikan setiap ahli isi rumah kekal sihat dan pengukuran juga berasaskan konsep pemakanan seimbang Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Namun, pengiraan PGK yang dibuat oleh JIT yang hanya merangkumi makanan dan keperluan paling asas bagi sebuah keluarga ibu tunggal yang mempunyai empat orang anak, kosnya sudah mencecah RM1,725.

Antara makanan asas yang diambil kira adalah beras, susu tepung, tepung gandum, kacang dhal, minyak masak, bawang merah, ikan bilis, Mee hoon, ikan, ayam, telur, ikan sardin, sayur, buah-buahan dan roti.

Manakala keperluan lain pula merangkumi sewa rumah PPR, pengangkutan bas sekolah, wang saku, perbelanjaan alat-alat atau bahan penulisan, tusyen, yuran tadika, penjagaan kanak-kanak, bil elektrik, air, telefon dan gas, ansuran motor dan petrol, perubatan dan bayaran klinik.

Sempena dengan Hari Wanita Sedunia, JIT menyeru Kementerian Wanita memandang berat masalah yang dihadapi oleh ibu tunggal dan mengemukakan tujuh tuntutan kepada kementerian.

Veronica berkata pengukuran itu adalah berasaskan sebuah keluarga lima anggota iaitu ibu tunggal dan empat orang anak (dua di sekolah rendah, satu di tadika, satu di rumah asuhan).

Katanya, pengukuran itu telah mengambil kira harga makanan di pasar besar yang paling rendah dan bukannya harga di pasar raya yang mahal.

"Kami mendapati PGK RM720 adalah tidak relevan dan perlu diselaraskan setimpal dengan kos hidup. Maka kami mencadangkan PGK diselaraskan kepada RM1,500 sebulan," kata Veronica.

Selain penyelarasan PGK, JIT juga menyeru Kementerian Wanita memberi publisiti mengenai perkhidmatan kaunselor yang disediakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) agar ibu tunggal tahu ke mana perlu dituju apabila ada masalah.

Katanya, oleh kerana kekurangan pegawai dan makluman, ramai ibu tunggal atau wanita mangsa keganasan rumah tangga terbiar tanpa panduan.

JIT juga mencadangkan Kementerian Wanita membeli dan memperuntukkan beberapa unit rumah kos rendah untuk dijadikan rumah asuhan yang dikendalikan oleh JKM sendiri.

"Kementerian memaklumkan bahawa hanya terdapat 149 Pusat Aktiviti Kanak-kanak di seluruh negara. Jumlah ini tidak mencukupi.

"Kami mencadangkan setiap kawasan rumah kos rendah mempunyai rumah asuhan atau Pusat Aktiviti Kanak-kanak," kata Veronica.

JIT juga menyeru kementerian bekerjasama dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) untuk menyediakan pas pengangkutan percuma kepada ibu tunggal.

Katanya, JIT turut mencadang kerajaan memberi kuota kepada ibu tunggal untuk membeli rumah kos rendah pada harga istimewa dan bukannya pada harga pasaran terbuka.

Katanya juga, Kementerian Wanita juga harus mengambil kira adakah bantuan mereka sampai sepenuhnya kepada kumpulan ibu tunggal.

"Kami difahamkan bahawa hanya 61,600 ibu tunggal diberi bantuan dengan jumlah RM151 juta tetapi statistik menunjukkan terdapat 830,000 (dari jawapan parlimen) ibu tunggal di seluruh negara.

"Adakah ini bermakna yang lain tidak mempunyai masalah menyara hidup atau bantuan JKM kepada ibu tunggal tidak sampai kepada keseluruhan kumpulan sasarannya?

"Kami ingin tahu siapakah yang menjadi kumpulan sasaran ibu tunggal dalam Pelan Tindakan Pemerkasaan Ibu Tunggal yang telah dilancarkan pada bulan Oktober 2015," katanya.

JIT telahpun berjumpa dengan Timbalan Menteri Wanita Chew Datin Paduka Mei Fun pada 14 Julai 2015 dan turut menghantar memorandum berhubung tujuh tuntutan di atas kepada Kementerian Wanita sebelum ini.

Namun, JIT tidak puas hati dengan maklumbalas Kementerian Wanita kepada isu-isu yang dibangkitkan oleh mereka dan akan terus memberi tekanan kepada kementerian agar melaksanakan tuntuan mereka itu.

Lihat Komen
ADS