Pelancong semakin ramai ke Terengganu tetapi kenapa kebersihan bandarnya tidak seperti diharapkan? Menteri Besar Terengganu Abdul Hadi Awang menyalahkan sesetengah kakitangan Majlis Perbandaran Kuala Terengganu (MPKT) yang kurang dedikasi dan dipilih kerana sebab-sebab politik Umno sebelum PAS menguasai negeri itu.

Berikut adalah bahagian akhir sedutan wawancara Malaysiakini dengan tokoh PAS itu.

Malaysiakini: Bagaimana Terengganu menangani kurang publisiti daripada pihak media?

Nampaknya media arus perdana seperti stesen televisyen, begitu juga akhbar harian yang dikuasai Umno, lebih menonjolkan (perkembangan) yang negatif daripada yang positif. Oleh kerana media bersikap begitu, masyarakat tidak percaya kepada laporan mereka.

Dan keadaan inilah yang sebenarnya memberi kemenangan kepada PAS di Terengganu dan Kelantan. Contohnya, televisyen pernah menayangkan gambar seorang makcik tinggal di 'pondok buruk' sedangkan orang kampung tahu (pondok) itu adalah bangsal dia menunggu buah durian (untuk dijual).

Apabila disiarkan, orang kampung tahu ini pembohongan.

Pernah berlaku juga di Terenganu, sebelum disiarkan di TV mereka berlakon dahulu. Mereka merobekkan dinding rumah supaya kelihatan lebih buruk dan ia dilihat oleh masyarakat setempat.

Media arus perdana menyiarkan kemiskinan yang begitu ketara setelah kita mengambil alih kuasa di Terengganu, malah tidak sampai setahun memimpin. Jadi, apabila rakyat melihat rumah buruk di Terengganu dan keadaan terbiar, rakyat sedar keadaan ini yang dilaksanakan oleh Barisan Nasional selama mereka memerintah.

Media yang dikuasai Umno menyiarkan publisiti negatif (terhadap Terengganu), tetapi mereka (BN) memukul diri sendiri.

Apakah cara kerajaan negeri memberikan gambaran sebenar kepada orang ramai, selain rakyat Terengganu?

Melalui penggalakan pelancongan. Mereka datang dan melihat sendiri. Setelah kita mengambil alih, orang luar Terengganu - bukan sahaja Melayu tetapi Cina dan juga India - datang melihat sendiri. Kita berharap orang yang datang memberitahu (keadaan sebenar) kepada mereka yang belum melawat. Kita juga mendekati media alternatif, melalui Internet kerana media ini juga boleh menyebarkan. Kerajaan negeri juga mempunyai laman web sendiri, www.Titi.net.my .

Apabila pelancongan digalakkan, apakah perbezaannya ketika pemerintahan BN? Antaranya, tidak terlihat (acara) hiburan yang bercanggah dengan Islam, seperti Pesta Batu Buruk, acara petani berpesta di tepi laut selepas menuai padi. Pada waktu (pesta) ini, macam-macam perkara berlaku berlaku. Setelah kita (PAS) mengambil alih, pesta ini terhapus dengan sendiri. Rakyat yang asalnya menyokong pesta ini kini menyokong kita. Kerajaan negeri dulu (BN) cuba menghidupkan semula (pesta itu) tetapi tidak dapat.

Begitu juga acara perayaan pada hari sambutan ulang tahun Keputeraan Tuanku Sultan Terengganu. Dahulu, bermacam-macam pesta hiburan yang menggalakkan pergaulan bebas diadakan, sekarang ini sudah tidak ada. Ini menunjukkan selama ini, bukan Tuanku yang menganjurkan tetapi terpulang kepada rakyat negeri untuk mengatur program.

Tanpa hiburan dan pesta, adakah industri pelancongan terancam?

Walau kita mengarahkan chalet-chalet tidak menjual arak, arahan ini tidak menakutkan pelancong. Mereka datang sehingga (syarikat penerbangan) MAS terpaksa mengadakan penerbangan lebihan. Kedatangan pelancong kini kian meningkat. Penerbangan dalam negeri berulang kali. Mereka datang melihat alam semulajadi. Pulau Kapas dan Pulau Redang merupakan antara (taman laut) yang tercantik di dunia.

Saya melihat sendiri, melawat pasar dan berjumpa dengan penjaja. Mereka memberitahu bahawa perniagaan meningkat. Lalu lintas di bandar sibuk, terutamanya musim cuti sekolah. Pelancong bukan hanya ke pulau tetapi juga melihat tanah besar Terengganu. Contohnya, pelancong 'Star Cruise' berlabuh di jeti Kuala Terengganu dan membeli belah di pasar besar (Kedai Payang).

Kami dapati bahawa kebersihan di Kuala Terengganu tidak sampai ke tahap yang dapat menarik pelancong. Kenapa?

Kita masih mewarisi pekerja-pekerja (majlis) perbandaran yang diletakkan dengan sebab-sebab politik dan mereka (lebih) kuat bekerja semasa pilihanraya, menampal poster (BN). Budaya ini budaya lama. Saya dimaklumkan oleh exco (anggota majlis mesyuarat kerajaan negeri) dan pegawai kanan, ada pekerja sandaran ini yang diambil kerana parti.

Dalam Majlis Perbandaran Kuala Terengganu (MPKT), yang paling banyak. Pekerja diambil untuk menggantikan kerani di pejabat, sedangkan kerani (itu) berniaga (sendiri) di luar. Kerani mengambil gaji dan pekerja gantian itu terpaksa juga dibayar.

Jika mereka hendak berniaga, mereka boleh berniaga. Jangan ambil gaji (sebagai kakitangan MPKT). Cara ini menghabiskan duit kerajaan. Oleh itu, kita (kerajaan PAS) buat pertukaran di sana sini. Ada pekerja yang datang mengadu, 'saya dulu di pejabat, sekarang kena sapu sampah'; 'saya dulu (bertugas) di tempat letak kereta, (kini) kena potong pokok bunga.' Ini proses yang kita lakukan untuk mengubah budaya kerja (kakitangan MPKT) ini. Ia memakan masa.

Oleh itu, saya sendiri menganjurkan majlis motivasi. Setiap pagi Khamis, saya sendiri menyampaikan ceramah di Dewan Wisma Negeri kepada pegawai kanan kerajaan. Sambutan cukup baik dan kuliah pada malam Khamis di Masjid Putih (di bandar). Saya guna peluang ini untuk memberikan motivasi kepada rakyat.

Boleh Tuan Guru menerangkan bagaimana timbulnya Amanat Hadi itu?

Saya sebenarnya tidak pernah memberikan sebarang amanat. Sebenarnya, itu adalah petikan daripada ucapan saya apabila hadir pada satu majlis di Banggol Peradong (Marang) dan polis telah mengepung majlis tersebut.

Pada waktu itu, saya berumur 30-an, sudah tentu berapi-api saya bercakap. Tidak lama kemudian, (bekas) Menteri Besar (Tan Sri) Wan Mokhtar (Wan Ahmad) telah membacakan petikan ucapan saya itu di Dewan Undangan Negeri dan bertanya kepada saya sama ada itu ucapan saya. Saya menjawab, ya.

Selepas itu, seorang hamba Allah telah mengambil ucapan itu, dibukukannya dan sekarang ini jadilah 'Amanat Hadi'.

Apa pendapat Tuan Guru apabila berjaya diletakkan di tempat ketujuh dalam majalah Asiaweek 'Power 50' (senarai mereka yang paling berkuasa di Asia)?

Saya rasa (kedudukan saya) itu pendapat Asiaweek . Pendapat Mingguan Malaysia , mungkin (saya) di tempat ke-300, Berita Minggu pula mungkin nombor 700! Jadi, lebih penting, saya dapat menyampaikan mesej dan menunaikan kewajipan. Terpulang kepada siapa hendak meletakkan markah (kedudukan).

Tuan Guru memakai neck brace (penyokong leher), apakah Tuan Guru mengalami sakit leher?

(Keadaan ini disebabkan) kemalangan jalan raya dua tahun lalu. Sekarang baru terasa. Mulanya berasa di lengan. Apabila dikaji, hospital mengesan terdapat kecederaan di leher dan memerlukan rawatan. Kalau bedah, saya rasa bahaya, mungkin (saya juga) perlu ke Jerman, mungkin saya pun tidak diberikan kebenaran.

Sedangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak diberikan kebenaran, inikan pula saya hanya seorang Menteri Besar! Saya rasa (Perdana Menteri) Dr Mahathir Mohamad tidak bagi kebenaran! (ketawa).

Bercakap tentang Datuk Seri Anwar, apakah pendapat Tuan Guru tentang hak rawatan beliau?

Kalau gajah di hutan yang sakit, kerajaan sanggup membekalkan helikopter dan kakitangan untuk memberikan rawatan, inikan pula seorang manusia. Walau kita benci dan marah pun, (Anwar) mesti dibantu mendapatkan rawatan. Islam menyuruh kita bersimpati dengan pesakit walau bukan beragama Islam, inikan pula seorang yang seagama dengan kita. Saya anggap (tindakan) ini sebagai satu kezaliman.