Kementerian Kewangan berkata wang sebanyak RM170 juta daripada syarikat Putra Perdana Construction kepada SRC International Sdn Bhd telah dipulangkan semula.

Ia juga mendedahkan wang itu dipindahkan untuk membayar projek turnkey, yang kemudian dibatalkan.

"Untuk makluman ahli yang berhormat, RM170 juta yang telah dibayar kepada Syarikat Putra Perdana Construction adalah bagi tujuan pembayaran projek pembinaan turnkey yang mana kemudiannya telah dibatalkan dan wang tersebut telah dipulangkan sepenuhnya kepada SRC.

Kementerian itu menjawab soalan Tony Pua (DAP- Petaling Jaya Utara) yang meminta menyatakan tujuan SRC International membuat bayaran sebanyak RM170 juta antara 8 Julai sehingga 8 Ogos 2014 kepada Syarikat Putra Perdana Consturction.

Tony bertanya mengapa RM27 juta daripada jumlah itu disalurkan kepada akaun bank menteri kewangan.

Berhubung soalan itu, kementerian kewangan berkata SRC International Sdn Bhd tidak mempunyai maklumat mengenai wang yang disalur ke akaun Najib.

"SRC tidak mempunyai sebarang maklumat berkenaan isu penyaluran wang ke akaun Menteri kewangan dan ia juga adalah berdasarkan laporan berita oleh sebuah portal yang tidak dapat ditentukan kesahihan sumber beritanya.

"Sehubungan dengan itu, di bawah Peraturan Mesyuarat 23(1)(i), perkara ini tidak perlu dijawab kerana ia adalah satu pertanyaan yang meminta penerangan berkenaaan perkara di dalam surat khabar," katanya.

Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali sebelum ini membersihkan Najib daripada sebarang salahlaku berhubung derma RM2.6 bilion dan RM42 juta yang disalurkan ke akaun peribadinya daripada SRC International.

Bagaimanapun, beliau secara tidak sengaja mendedahkan urusniaga lain ketika menunjukkan sebuah carta.

Malaysiakini melaporkan syarikat yang menyalurkan RM27 juta ke akaun AmBank Najib ditubuhkan hanya satu bulan sebelum membuat transaksi besar itu.

Carta aliran menerangkan wang dari SRC International ke akaun itu menunjukkan bahawa Permai Binaraya Sdn Bhd membuat pemindahan ke akaun AmPrivate 1MY (880) pada 8 Julai 2014.

Rekod SSM menunjukkan Pengarah Permai Binaraya termasuk Mohd Shukri Dahlan, yang bersara sebagai Ketua Polis Selangor pada tahun 2014.