Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh memberitahu, pihaknya tidak mengetahui sekatan yang dibuat terhadap pemimpin belia Syed Saddiq Syed daripada berucap di universiti.

Bagaimanapun katanya, sebanyak 13 universiti di negara ini telah diberi autonomi dan segala arahan terpulang kepada setiap institusi terbabit.

"Saya tak tahu itu (Syed Saddiq tak dibenar berucap). Itu prerogatif universiti. 13 universiti telah diberi autonomi sebab anda semua mahu universiti diberi autonomi.

"Jadi ia merupakan keputusan universiti siapa yang mempunyai hak untuk masuk dan tak boleh masuk," katanya kepada pemberita dii lobi Parlimen hari ini.

Ditanya sama ada larangan tersebut bukan daripada kementeriannya, Idris sekali lagi berkata: "Saya kata, mereka (universiti) telah diberi autonomi," katanya.

Semalam, Syed Saddiq dalam kenyataan medianya memberitahu beliau disekat daripada bercakap di Universiti Tenaga Nasional (Uniten) dan Universiti Sains Islam Malaysia (Usim).

Beliau mendakwa larangan itu dibuat selepas menandatangani Deklarasi Rakyat yang menuntut penyingkiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.