Mahkamah Persekutuan kekal keputusan ketepi denda Shafee
Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan bahawa peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah tidak bersalah atas dakwaan salah laku profesion, empat tahun lalu.
Ini bertentangan dengan keputusan Lembaga Disiplin Peguam bela dan Peguam cara yang mengenakan denda RM5,000 ke atas Shafie kerana mencabuli peraturan publisiti berhubung dua artikel yang disiarkan dalam akhbar The Star pada 2009.
Keputusan sebulat suara itu dicapai oleh panel lima hakim bersidang diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md Raus Sharif ketika menolak rayuan Majlis Peguam dengan kos RM50,000.
Menurutnya, mahkamah berpuas hati bahawa peguam itu tidak melanggar Kaedah-Kaedah Profesion Undang-Undang (Publisiti) 2001 (Kaedah Publisiti) ketika diwawancara oleh akhbar akhbar harian berbahasa Inggeris itu. [Baca berita penuh]
Sementara itu, Bernama melaporkan Hakim Raus berkata melihat kepada pernyataan dalam persoalan dan konteks ia dilakukan, tiada publisiti (bagi pihak Muhammad Shafee) dalam lingkungan peraturan publisiti.
Hakim Raus memerintahkan Majlis Peguam membayar kos perundangan RM50,000 kepada Muhammad Shafee.
Pada 5 Oktober 2012, Muhammad Shafee didenda RM5,000 oleh Lembaga Tatatertib Peguambela dan Peguamcara kerana melanggar Peraturan-peraturan Publisiti Dalam Profesion Guaman 2001 berikutan penerbitan artikel bertajuk "Counsel rests his case" dan "Keeping within the letter of the law" yang disiarkan pada 27 September 2009.
Pada 2010, presiden Majlis Peguam pada ketika itu Ragunath Kesavan melaporkan perkara itu kepada Lembaga Tatatertib Peguambela dan Peguamcara berhubung artikel itu yang dikatakan mengandungi pujian.
Muhammad Shafee gagal dalam usahanya di Mahkamah Tinggi bagi mengetepikan keputusan lembaga itu namun berjaya dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan.
Peguam bagi Majlis Peguam, Arthur Wang Ming Way memberitahu pemberita keputusan Mahkamah Persekutuan itu satu keputusan yang jarang berlaku memandangkan keputusan lembaga itu dicabar dan Muhammad Shafee berjaya mengetepikan keputusan itu.
Bagaimanapun, Muhammad Shafee berkata bagi beliau ia merupakan satu keputusan penting kerana buat pertama kali mahkamah memutuskan mengenai peraturan publisiti dan apa yang dimaksudkan dengan publisiti dan pengiklanan.
Sebelum itu, dalam prosiding rayuan hari ini, Muhammad Shafee meminta kos perundangan RM300,000 dengan menyatakan bahawa Majlis Peguam perlu diberi pengajaran bahawa "pendakwaan terpilih' adalah tidak adil.
Dalam penghujahannya, Muhammad Shafee yang mewakili dirinya dalam rayuan itu, mempersoal kenapa Majlis Peguam menyasarkan beliau berbanding peguam-peguam lain yang juga mendapat perhatian dalam majalah dan penerbitan lain.
Katanya beliau tidak berniat untuk mendapat publisiti apabila bersetuju untuk diwawancara.
Wang berkata Majlis Peguam bukan "memilih beliau" namun berkata Muhammad Shafee telah melanggar peraturan publisiti kerana artikel hasil wawancara itu mengandungi maklumat "pujian".

