Pemuda PAS mahu Jawi teruskan serbuan ke kelab malam

Nurul Nazirin        

Dewan Pemuda PAS pusat hari ini menyerahkan memorandum kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) yang menggesanya supaya meningkatkan serbuan ke kelab malam.

Malah, dewan itu mahu Jawi memperluaskan serbuannya ke kawasan tumpuan ramai di Bangsar, Chow Kit dan Damansara dan tidak tertumpu ke kawasan Bukit Bintang sahaja.

"Jawi seharusnya tidak setakat melakukan serbuan ke kelab malam, tetapi juga bertindak membendung isu moral di kalangan muda-mudi Islam," kata Naib Ketua Pemuda PAS pusat, Idris Ahmad yang menyampaikan memorandum tersebut kepada Pengarah Jawi, Ramle Endut di jabatan itu di Kuala Lumpur hari ini.

Jawi dikecam hebat kerana didakwa telah mengaibkan pengunjung kelab malam wanita beragama Islam yang ditahan sewaktu melakukan serbuan di kelab malam di ibu kota pada 20 Januari lalu, dengan mengeluarkan kata-kata lucah berhubung pakaian mereka dan mengambil gambar mereka.

Pegawai Jawi juga didakwa tidak membenarkan seorang wanita menggunakan bilik air sehingga terkencing dalam seluar.

Tegaskan pendirian

Berikutan itu, Jawi telah menjadi sasaran kritikan oleh banyai pihak yang mempersoalkan tindakan jabatan berkenaan.

Bagaimanapun, PAS mempertahankan jabatan tersebut. Semalam, Pemuda PAS Wilayah Persekutuan memuji pegawai Jawi yang menjalankan tugas mereka dengan `ikhlas dan penuh dedikasi'.

Sementara itu, Idris menggesa Jabatan Agama menyerbu sarang pelacuran di bandaraya, sambil menambah tindakan tersebut boleh membantu membendung penyakit sosial di kalangan pemuda Islam.

Sambil menegaskan sokongan terhadap tindakan Jawi itu, beliau berkata;"Meskipun mendapat bantahan pihak-pihak lain, Jawi perlu tegas dengan pendiriannya...Ia tidak perlu berganjak.."

Idris juga menyoal mengapa tindakan jabatan tersebut dipersoalkan, sedangkan ramai muda-mudi Islam yang mengunjungi kelab malam Hari Raya Haji, tetapi ia tidak pula mendapat perhatian

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In