Peniaga 'downtown' didakwa halang tugas polis, pandu secara cuai
Seorang peniaga bazar Downtown mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan memandu secara cuai, Julai tahun lepas.
Mohd Shahnon Othman, 33, didakwa menghalang penjawat awam menjalankan tugas dengan menggunakan kekerasan jenayah terhadap dua anggota polis unit rondaan bermotor, iaitu Lans Koperal Mohd Suhail Md Isa dan Lans Koperal Mohamad Noorfirdaus Abd Hamid dengan menghimpit motosikal yang dipandu mereka bagi melarikan diri daripada ditangkap.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memandu kenderaan secara cuai yang boleh menyebabkan kecederaan kepada orang lain di bawah Seksyen 279 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga enam bulan, atau denda sehingga RM2,000, atau kedua-duanya.
Mohd Shahnon didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di Lebuhraya Timur-Barat, Taman Connaught, Cheras pada 2 pagi 16 Julai tahun lalu.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Faridah Nurdinie Bahrum menawarkan ikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan, bagaimanapun Mohd Shahnon yang tidak diwakili peguam merayu jumlah jaminan dikurangkan kerana dia mempunyai lima orang anak berumur antara empat bulan dan 12 tahun termasuk empat yang bersekolah.
Majistret Nur A'minahtul Mardiah Md. Nor membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,500 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 April untuk sebutan.
- Bernama

