Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MB ingatkan Ahmad Said, kita orang politik jangan kecil hati
Diterbitkan:  Mar 9, 2016 4:55 PM
Dikemaskini: 8:56 AM

"Saya akan lawan! Saya akan lawan dengan berusaha supaya mencipta lebih banyak kejayaan, lebih banyak kebaikan untuk rakyat!.

"Saya akan lawan dengan berusaha keras supaya Terengganu dihormati kawan dan lawan. Saya akan lawan dengan berusaha supaya kita dapat hapuskan sebarang bentuk rasuah dan penyelewangan. Kalau saya mati sekalipun, saya mati melawan."

Demikian ikrar Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) berhubung tindakan bekas menteri besar dan juga Adun Kijal Datuk Seri Ahmad Said mengemukakan cadangan usul undi tidak percaya terhadapnya (Ahmad Razif) semalam tetapi ditolak speaker DUN Datuk Mohd Zubir Embong.

Abdul Razif berkata sejak awal mengambil tugas sebagai Menteri Besar (MB), beliau sentiasa menjadikan tiga bekas MB iaitu Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad, Datuk Seri Idris Jusoh dan Ahmad sebagai ikon.

"Saya raikan mereka dalam satu majlis semata-mata bertujuan memperingati dan menunjukkan rasa hormat saya terhadap jasa dan sumbangan mereka, namun malangnya Adun Kijal tidak hadir.

"Saya mahu rakyat tahu bahawa saya menyambung kerja-kerja baik dan asas yang telah mereka letakkan untuk pembangunan Terengganu. Siapalah saya berbanding mereka. Saya hanya cikgu sekolah.

"Saya mengharapkan ketiga-tiga bekas MB ini dapat bersama-sama membantu saya dan kerajaan dalam memajukan negeri. Jika kebaikan dibalas dengan kejahatan, itu adalah dendam," katanya.

Ahmad Razif turut menyatakan bahawa beliau merasa pelik apabila dikatakan membuat konspirasi untuk menafikan sumbangan Ahmad sewaktu beliau menjadi MB.

Katanya, sekiranya terdapat kebaikan yang disebut oleh pihak lain ketika beliau menjadi menteri besar, ia sebenarnya adalah kebaikan yang dimulakan oleh Barisan Naisonal (BN) terdahulu.

"Misalnya, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) telah siap ketika saya menjadi MB namun kerja-kerja awal telahpun bermula ketika zaman Wan Mokhtar lagi. Begitu juga stadium, ITC Kemaman, Sekolah Menengah IMTIAZ dan pelbagai projek yang sebelum ini terbengkalai atau dibiarkan lesu.

"Saya sambung dan selesaikan. Saya tidak menafikan sumbangan sesiapa, malah saya selesaikan apa yang tidak selesai dan tambah nilai apa yang belum selesai.

"Saya sentiasa katakan bahawa kita harus sentiasa memandang ke hadapan. Kita jangan lupa, apabila kita tinggalkan sesuatu jawatan, kita mungkin tinggalkan bukan sahaja legasi baik tetapi mungkin ada legasi tidak baik," katanya.

Dalam masa sama, beliau turut memuji tindakan Idris yang hadir secara konsisten dalam sidang DUN walaupun telah menyerah tugas, namun ia berbeza dengan keadaan Ahmad, yang mana beliau kerap tidak hadir.

"Yang sudah tu sudahlah. Saya teringat kata-kata yang diucap sendiri oleh Adun Kijal, 'kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai. Kita orang politik jangan berkecil hati, jangan makan hati, jangan rasa hati dan mesti berhati-hati'.

"Saya akui saya hanyalah seorang cikgu dan cikgu ini sifatnya sentiasa akur dan menerima, jarang sekali membantah. Diseru dan dipanggil...kita datang. Disuruh pergi..kita pulang.

"Tetapi sesiapa sekalipun, sama ada dia seorang cikgu atau bukan, sekiranya asyik diasak dan maruhnya dihina, dia akan melawan. Saya akan lawan!", katanya sebelum mengakhiri ucapan yang mendapat tepukan gemuruh dalam kalangan barisan kerajaan.

-Bernama

Lihat Komen
ADS