Remaja patah pergelangan tangan tersepit mesin
Seorang remaja lelaki patah pergelangan tangan kanan selepas tersepit pada mesin pencetak plat dalam kejadian di Taman Perindustrian Kepong di ibunegara petang semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh, Mohamed Sabri A Shamsudeen berkata dalam kejadian 5 petang itu, tangan mangsa Muhammad Hafiz Muhamad Azhar, 19, berjaya dikeluarkan dengan menggunakan sebuah peralatan khas.
"Anggota bomba terpaksa menggunakan 'hydraulic ram' untuk merenggangkan mesin tersebut sebelum tangan mangsa dapat dikeluarkan sepenuhnya," kata beliau kepada Bernama di sini, hari ini.semalam.
Beliau berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada jam 5.11 petang, sebelum tujuh pegawai dan anggota serta lima jentera dikerahkan ke lokasi kejadian.
Mangsa yang patah pergelangan tangan dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan, katanya.
- Bernama

