Tempoh pengampunan bagi pendatang asing tanpa izin dilanjutkan sehingga ke satu tarikh yang akan ditetapkan atas permintaan kerajaan Filipina dan Indonesia, termasuk permintaan bertulis dari Presiden Susilo Bambang Yudhoyono.

Menteri Setiausaha Negara Indonesia Yusril Ihza Mahendra berjumpa Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenai lanjutan itu, semalam.

Menurut Bernama, Ini ialah kali ketiga tempoh pengampunan itu dilanjutkan. Ia sepatutnya berakhir 14 November tahun lepas sebelum dilanjutkan kepada 31 Disember dan sekali lagi dilanjutkan kepada 31 Januari tahun ini.

Menteri Hal-Ehwal Dalam Negeri Datuk Azmi Khalid berkata, perkara asas yang mendorong kerajaan melanjutkan tempoh pengampunan itu ialah kesedaran tentang beban yang terpaksa ditanggung Indonesia dalam menangani kesan bencana tsunami yang membawa kemusnahan besar kepada nyawa dan harta benda penduduknya.

Kedutaan Indonesia juga, katanya, sekarang sibuk menguruskan bantuan untuk mangsa tsunami yang melanda 26 Disember lalu, selain terpaksa melayan warganegara itu yang ingin mendapatkan dokumen tertentu untuk pulang.

Azmi berkata akan ada orang yang menyifatkan tindakan kerajaan melanjutkan tempoh pengampunan itu sebagai "berlembut" dengan pendatang haram.

"Ya, mungkin akan ada orang kata kita ni berlembut pula, tapi dalam lembut kita tak boleh kata kita ni kendur. Dalam lembut kita tegas," katanya kepada pemberita di Putrajaya.

Cap jari

Bagaimanapun, katanya, pendatang tanpa izin yang masih tidak pulang ke negara asal selepas dinasihatkan berbuat demikian, tidak akan dibenarkan kembali ke Malaysia untuk bekerja buat selamanya.

Menurutnya, dalam tempoh tersebut, pihak berkuasa tetap menjalankan operasi mengesan pendatang haram dan sesiapa yang ditahan akan diberikan nasihat untuk pulang segera selepas segala maklumat mengenai mereka, termasuk cap jari diambil.

"Dalam tempoh pengampunan, kalau orang yang sama ditahan sekali lagi dalam tempoh terdekat, kita jangka mungkin memakan masa seminggu untuk pulang dia akan disenaraihitamkan, cap jarinya diambil untuk kali kedua dan kita hantar dia pulang tanpa diizinkan datang lagi ke Malaysia sebagai pekerja," katanya.

Azmi berkata beliau telah memaklumkan kepada Jemaah Menteri mengenai perkembangan terbaru itu dan Kabinet telah memberikan persetujuannya terhadap tindakan yang bakal diambil dalam hal itu.

Katanya, Kabinet akan memutuskan bila tempoh pengampunan itu akan berakhir dan selepas itu, pendatang haram yang ditangkap akan diheret ke mahkamah untuk dikenakan tindakan mengikut undang-undang negara.

"Dia juga akan disenaraihitamkan dan tidak boleh datang lagi ke negara ini untuk bekerja dan, kalau boleh, tak boleh datang ke sini walaupun sebagai pelancong," katanya lagi.

Menjawab pertanyaan sama ada lanjutan itu merupakan yang terakhir, beliau berkata: "Saya mahu menjadikannya yang terakhir."

Beliau bagaimanapun mengakui tindakan itu tidak popular di kalangan rakyat tempatan yang mengharapkan kerajaan mengambil tindakan lebih drastik bagi membendung masalah pendatang tanpa izin di negara ini.

Sistem biometrik

"Tetapi kerajaan lihat isu ini daripada aspek keseluruhan. Jadi ada perkara yang perlu diberikan pertimbangan," katanya.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, beliau berkata: "Ia (lanjutan itu) mungkin dilihat sebagai tidak baik oleh sesetengah rakyat Malaysia.

"Tapi jika kita melihatnya daripada perspektif antarabangsa, kita tidaklah nampak buruk sangat kerana masyarakat antarabangsa juga sedang memerhatikan cara kita menangani hubungan antara kedua-dua negara."

Beliau berkata langkah kerajaan Malaysia melanjutkan tempoh pengampunan itu juga mendapat respons yang baik memandangkan lebih 400,000 pendatang haram telah pulang ke negara asal masing-masing.

Dalam pada itu, Azmi berkata kerajaan Indonesia bersetuju membenarkan Malaysia menempatkan pegawai imigresen di lokasi tertentu di negara jiran itu bagi mempercepatkan urusan kemasukan pekerja Indonesia ke negara ini secara sah.

Beliau berkata mereka akan dilengkapi dengan sistem biometrik yang membolehkan identiti seseorang diketahui dengan pantas.

Cap jari, katanya, menjadi kunci kepada soal bagaimana Malaysia menguruskan pekerja asing.