Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, beliau tidak mahu melayan pihak yang memberi 'masalah' kepada parti dan menyifatkan mereka sebagai kebudak-budakkan.

"Tak ada komen. Tak ada komen.

“Kenapa saya perlu memberi komen kepada orang yang kebudak-budakkan.

"Biar mereka jadi budak-budaklah," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Beliau ditanya pemberita sama ada Naib Presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal ( gambar ) akan turut dikenakan tindakan.

Shahfie sering senada dengan Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin yang digantung tugas baru-baru ini selepas mengkritik pentadbiran Datuk Seri Najib Razak dalam isu 1MDB.

Sementara itu, ditanya sama ada pihaknya akan mengambil tindakan terhadap bekas menteri besar Datuk Ahmad Said kerana mengusulkan undi tidak percaya pada penggantinya, Tengku Adnan hanya berdiam diri.